21 May 2011

Bangsa Melayu BELUM MENJADI Bangsa Ilmu


Salam,
Pelik tapi benar, itulah yang aku dapat gambarkan keadaan kita warganegara Malaysia hari ini. Tak mahu cakap panjang, kita terus ke point utama entry kali ni…

Kerap kali kita dikhabarkan tentang kisah guru-guru yang dipersalahkan malah dikenakan tindakan tatatertib akibat dari murid-murid yang mengadu tentang ‘ketidak-professionalan’ guru-guru tersebut dalam menangani masalah-masalah di sekolah. Akibatnya guru-guru hari ini menjadi fragile, rapuh dan lemah. Buat itu tak kena buat ini tak kena. Nak tegur salah tak tegur pun salah. Maka bahananya, guru-guru menjadi kelompok lembik di sekolah dan hanya berperanan mengajar ilmu yang terkandung dalam buku teks sahaja.

Jika dilihat permasalahan murid-murid, ramai di antara mereka yang bersikap kurang sopan, malah biadap, terhadap guru-guru. Kita pernah mendengar kes murid menengking guru, menumbuk malah menyepak guru. Tak cukup dengan itu dibawanya lagi ibu bapa dan ‘konco-konconya’ untuk turut hadir yang berkerjasama memarah malah mencederakan guru-guru. Masih belum puas, diheretnya guru ke mahkamah.

Sebagai manusia biasa, guru juga ada perasaan takut. Guru juga ada perasaan risau… ada juga rasa kesian.

Inilah jadinya bila dunia hari ini menitik-beratkan ilmu-ilmu di atas kertas. Semuanya mesti belajar dari buku, mesti hafal, mesti tepat… tapi kita abaikan pembelajaran ilmu akhlak dan moral. Kita dapat membandingkan dengan jelas dan bersuluh bagaimana suasana pengajaran dan pembelajaran ilmu yang agung di zaman Rasulullah. Malah diteruskan di zaman-zaman sahabat dan ulama-ulama tersohor. Hasilnya lihatlah ikon-ikon modal insan keluaran sistem pendidikan Islamik yang tidak dapat disangkal lagi, amat berkualiti.

Adab-adab menuntut ilmu sudah makin hilang dari bumi Malaysia. Jika dahulu guru-guru mengajar ilmu dan juga membentuk akhlak. Tapi kini akhlak terpaksa diketepikan. Tiada lagi rotan tapak tangan, tiada lagi rotan punggung, tiada lagi meninggi suara kerana tidak siap kerja rumah, dll. Jika ada, terus dapat laporan. Guru juga yang dipersalahkan. Hasilnya lihatlah, anak-anak hidup dalam acuan barat yang bebas. Malah kini muncul pula generasi baru yang berpegang teguh dengan fahaman sekularisme tanpa mereka sedari. Nas-nas naqli dari al-Quran dan Sunnah ditolak dengan bersahaja hanya dengan menggunakan dalil akal mereka yang percaya kpd kebebasan dan hak memilih. Islam kata ya, dia kata tidak. Islam kata tidak, dia pula kata ya.

Fenomena ini berlaku kerana mereka tidak ada sifat menghormati ilmu. Mereka zalim dengan ilmu. Tiada lagi keberkatan guru dan keberkatan majlis ilmu. Ilmu cuma menjadi senjata untuk hidup di dunia sahaja. Asalkan dapat masuk universiti, dapat kerja hebat, dapat gaji besar, cukuplah. Dimanakah letak status utama ilmu sebagai benih-benih yang ditanam untuk dituai di akhirat? Berapa ramai orang kita hari ini berfikir tentang akhirat? Berapa ramai yang rasa bertanggungjawab terhadap ilmunya? Berapa ramai yang mencium tangan gurunya? Berapa ramai yang tidak membawa buku-buku ilmu ke dalam tandas? Banyak lagi contoh pemerkosaan ilmu yang kita lakukan, dalam sedar atau tidak.

Tidaklah aku berpendapat guru-guru boleh mengasari murid-murid. Itu salah. Jika sehingga membawa penyakit, sampai masuk wad, malah sampai mati, itu memang salah guru lah. Mungkin dia tidak berapa sesuai jadi guru. Tapi bak sabda Nabi tentang mengajar solat kepada anak-anak. Mula-mula kita suruh dia solat, kemudian kalau tak nak buat, kita rotan. Kemudian kalau masih tak nak buat walaupun dah dewasa, halau dari rumah. Maknanya jika dengan segala cara lembut kita guna, kita dah bagi motivasi, dah bagi ilmu, dah bagi amali lagi, mereka tetap juga tak mahu buat sedangkan ianya mesti dibuat, maka kita boleh tunjukkan ketegasan dan kekerasan. Sesungguhnya ketegasan dan kekerasan itu tanda keseriusan sesuatu perkara itu. Kalau kita suruh murid-murid solat sambil bergurau, ia nampak seperti main-main, silap-silap murid-murid anggap solat tu sebagai sunat sahaja. Tapi kalau kita tegas, murid-murid akan buat dan semua akan tahu itu wajib dan tahu betapa beratnya kesalahan meninggalkan solat.

Andai kata kita capai satu tahap serius yang amat-amat tidak boleh diterima akal, maka berkeraslah. Gunakan rotan atau gunakan suara yang tinggi. Tapi bukan mengikut nafsu, tapi mengikut tunjuk ajar Islam. Anda boleh rujuk mana-mana artikel tentang cara-cara merotan dalam Islam dan sebagainya. Dan harus juga diingat, apa yan dimarah hendaklah dimarah kerana ianya salah di sisi syara’. Sebagai contoh, murid kita membawa VCD lucah ke sekolah. Kita kena marah dan ambil tindakan yang telah ditetapkan kerana ianya jelas termaktub sebagai satu kesalahan dalam undang-undang Islam dan undang-undang sekolah. Jangan pula kita marah dia sebab dia tak suka warna oren sedangkan kita suka warna oren, itu marah kerana nafsu dan bersifat peribadi.

Berbalik kepada permasalahan murid, kita sebenarnya sedang mencipta satu generasi yang akan memacu dunia kearah kehancuran. Kita mencipta lebih ramai pakar-pakar dalam bidang-bidang keduniaan. Kita tebuk bukit, kita korek tanah, kita gali minyak, kita sponsor artis-artis yang tidak elok, kita sogok dengan rancangan TV yang terlampau lalai, kita buat rusuhan, kita bakar hutan, dll… Sebanyak manakah kita lahirkan ustaz dan ustazah dalam setahun? Sebanyak manakah bajet kita luluskan untuk pembinaan masjid dan program-program keagamaan?

Jelas. Jelas. Jelas. Dunia makin dimusnah. Akhlak makin dikubur. Maka yang tinggal manusia-manusia yang terlampau sibuk melayan nafsu.

Semua ini bermula dari sikap kita yang tidak membudayakan budaya ilmu. Apabila ilmu tiada keberkatan dan keredhaan dari Allah, akibatnya ia akan menjurus ke arah keburukan.

Maka aku berseru supaya kita semua menghormati guru. Sayangi guru. Dampingi guru. Dapatkanlah ilmu yang berguna dan  ajarkanlah ilmu yang berguna. Jangan main-main dalam kelas, dengar betul-betul apa cikgu ajar. Buat kerja yang cikgu tugaskan. Terima nasihat dan teguran yang cikgu bagi.

Kepada guru-guru pula, didiklah murid-murid dengan ikhlas dan mengikut acuan Islam. Dan kepada masyarakat, jangan cepat melatah. Setakat anak anda cerita dia dirotan sikit sebab ponteng kelas tu, bekas dirotan pun tak nampak, tak payahlah nak buat sidang media menjaja cerita anda memohon simpati di sana dan sini. Ini proses pembelajaran. Nak lahirkan anak yang soleh dan berjaya tidak senang, perlukan proses yang cukup pahit manisnya, cukup suka dukanya. Barulah anak-anak akan menjadi insan yang reti cara untuk hidup di dunia ini dengan cara yang diredhai Allah dan masyarakat.

Budayakanlah budaya ilmu,
Selamat Hari Guru.
Wassalam.

No comments: