30 September 2012

IBU BAPA, ANAK-ANAK, DIDIKAN, TARBIYAH???

TOLONG AMBIK MASA BACA INI SEKEJAP...

Tarbiyah dan didikan ibu bapa sangat penting di dalam mencorak peribadi anak-anak. Apabila elok bahan-bahan dan ramuannya, elok juga alat-alatannya, maka eloklah hasilnya. Mana mungkin ibu bapa yang langsung tiada usaha mendidik, mengharapkan anak-anaknya jadi insan hebat. Hari-hari tunggu hidayah, tapi tak pernah cari hidayah, tak pernah buka ruang untuk menggapai hidayah.

Saya sedih dan kesal, ada ibu bapa yang sedari kecil anaknya sudah dibiasakan dengan skirt singkat dan hiasan-hiasan yang pelbagai. Sungguh, tidak berdosa budak itu, dia suci malah lebih suci dari kita hari ini. Namun di manakah didikan Islami yang hendak mencorakkan anak tersebut? Kenapa dibiarkan mereka berpakaian sebegitu, tidak takutkah kita sekiranya mereka sudah terbiasa dengan pakaian begitu yang akhirnya membawa ke alam dewasa? Nak bagi kebebasan, sampai bila? Sampai bila yang kita boleh tetapkan had sempadan untuk mereka bebas? Tidak takutkah kita sekiranya had sempadan itu, yang kita rasa betul, rupa-rupanya sudah terlambat, sedar-sedar anak kita sudah jadi seorang remaja yang terbiasa dengan corak hidup orang bukan Islam?

Saya tidak mendesak agar ibu bapa memakaikan tudung labuh kepada anak-anaknya, jubah, serban dan segalanya. Cuma saya meminta ibu bapa agar menanam roh Islam seawal mereka masih kecil. Biar mereka biasa dengan baju kurung yang sopan, baju melayu, kopiah kadang2, tudung kadang2. Biar didikan kita bercampur dengan roh yang kita semai. Barulah jadi Islamik anak kita itu.

Sedih melihat ibu bapa yang kadang2 sampai menangis mengadu nasib anak-anak mereka yang terjebak dalam perkara tidak baik. Tidak kurang juga yang garang, dibelasahnya anak-anak yang buat perkara yang tidak baik, malah ada anak-anak yang 'dirasakan' mungkin buat perkara tidak baik pun dibelasah teruk juga. Umur anak itu sudah mencecah belasan, sudah lama baligh, baru nak mula didik? baru nak bermula dari tapak 1? baru nak tunjuk mana A? Kemudian naik angin, kecewa, bila anak tidak berubah.

Sabar... Rancang dan lakukanlah proses didikan anak-anak seawal usia mereka. Biar roh mereka dan roh Islam itu bersatu. Biar hati mereka hidup, biar jiwa mereka bersih. Jika asasnya sudah mantap, maka tidak susah nak menerapkan syariah dan ibadah di dalam akal dan hati mereka semasa mereka mencapai usia baligh nanti. Jangan rasa yang satu tamparan atau satu tengkingan itu sudah cukup untuk membentuk peribadi unggul seorang anak. Belum.

Sabar mendidik. Dakwah dan tarbiyah itu satu proses yang berterusan dan memakan masa. Tanam kefahaman, tanam iman di dalam hati anak-anak. Biar ibu bapa dan anak-anak, menjadi Muslim-muslim yang hebat. Barulah terbentuk sebuah keluarga Muslim yang hebat. Baru unggul peribadi kita.

Jangan pula ibu bapa memaksa anak-anak jadi soleh sedangkan si ibu bapa solat pun tidak cukup. Jangan pula ibu bapa marahkan anak-anak yang tidak faham agama kalau mereka tidak berusaha memahamkan anak-anak tentang agama sedari awal usia mereka. Sama-samalah berusaha jadi Muslim unggul.

Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.

Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Wallahua'lam.

SYAFIQ FADELI

29 September 2012

PONDOK TOK SELEHOR


Dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, aku memikirkan 2 pilihan yang ada, pergi ataupun tinggal di rumah. Masa tu, terlintas pula pesan yang biasa kita dengar, ikut kata hati. Lalu aku membuat keputusan ikut kata hati.

Akhirnya, sampai lah aku di Pondok Tok Selehor yang popular tu. Tempatnya sungguh baru dan asing bagi ku namun, sekali pandang aku sudah jatuh cinta. Dalam hati terbit juga sedikit rasa iri, alangkah beruntung mereka yang tinggal berdekatan dengan kawasan pondok kerana ini tempat yang baik. Siapa yang akan benci tempat yang baik seperti itu, kan? Hehe. Tidak cukup dengan khabar baik tentang tempat itu yang aku pernah dengar dulu, rupa-rupanya kebenarannya lebih jauh baik. Selain ia menjadi tempat “kem untuk jadi budak baik”, ia menghadiahkan juga pemandangan yang sungguh menenangkan. Sejuk mata memandang…

Hari pertama terlibat dengan program yang menjadi sebab utama aku ke situ, aku tak terasa sibuk sangat. Habis kerja dapat tengok benda best dan cantik memang tak terasa penat. Pelajar diajar tentang solat. Kan solat boleh mencegah kemungkaran, maka aku memang setuju slot ini mengambil tempat untuk sepanjang hari ini. Harap-harap pelajar tak sia-siakan peluang ini. Sementara aku menumpang belajar ilmu tentang solat melalui bengkel dan ceramah yang tersedia, mata aku kadang-kadang menyelit sibut sama. Sibuk apa? Sibuk membaca tulisan di tanjak-tanjak yang dipakai di atas kepala pelajar-pelajar yang terlibat. Ada yang tertulis ‘askar’, ada juga ‘cikgu’. Rupanya ada juga yang berniat nak jadi guru, tapi aku tak faham kenapa pula yang nak jadi guru ni pula yang nakal-nakal, ponteng kelas sebagainya. Mereka ingat senang ker nak pandai tanpa dengar guru mengajar?  Memang perlu pendedahan kerjaya la pelajar-pelajar tu.

Tamat slot solat, aku terus menyiapkan diri untuk slot muhasabah diri pada malam tu. Ini pertama kali aku hadir sebagai seorang yang melihat orang menangis. Terakhir sekali aku dan muhasabah diri ini, masa tu aku lah peserta. Jadi tak ‘normal’ la kalau tak menangis. Dah cakap pasal ibu bapa, diiring plak lagu sedih, ayat-ayat puitis, esakan dan sebagainya, sedang ibu bapa memang duduk jauh, lama tak jumpa, mahunya tak meraung. Sabar je laa… huhu Lebih kurang pukul 1 am, slot nangis-nangis pun tamat. Memang ramai yang menangis. Tandanya hati mereka hidup. Moga-moga keinsafan itu berterusan hingga menjadikan mereka lebih baik. Amiin…

Terima kasih blogger SYAFIQ FADELI (kanan) kerana membenarkan saya post entri di sini
- bersama sahabat beliau, SYAFIQ ASMAWI
Akujanji peserta
Penghulu peserta
Upacara bakar dosa
Penceramah motivasi - sesi bersalaman, di Pondok Tok Selehor
Memori bersama
Kemuncak program pada hari tersebut adalah suluk. Aku pun tak tahu apa maksud suluk. Tak sempat nak tanya tuan penjaga suluk tersebut. Rugi..rugi..huhu. kat suluk ni la pelajar-pelajar akan merasa berada di dalam kubur dan bermuhasabah diri. Antara perkara yang mereka perlu buat dalam kubur tu adalah menginsafi dosa-dosa lalu, membayangkan jika itu betul-betul waktunya malaikat datang menyoal, apakah amalan yang mereka sudah siapkan dan mereka juga perlu menanam azam yang baru apabila keluar dari suluk tersebut. Azam apa? Tentulah azam untuk lebih bersedia menghadapi mati untuk lebih comel amalan dan bekalan sebelum dipanggil bertemu Allah, sebelum malaikat maut datang menjemput. Aku pun ada ambil kesempatan untuk merasa pengalaman duduk dalam suluk. Sungguh! Satu pengalaman yang belum pernah dirasakan. Siapa nak try, sangat dialu-alukan.

Balik dari kawasan perkuburan tu, jam dah menunjukkan pukul 2 pagi. Aku terus tidur. Tak ada pulak kes terserempak hantu ke apa. Kubur tak ‘keras’ ke eh? Bukan nak bangga diri, tapi bila dah percaya Allah lebih berkuasa daripada segala yang lain, aku dah tak perlu fikir pasal golongan yang sukar dilihat tu. Mereka ada alam mereka, aku berada di alam aku. Masing-masing punya hal, jadi tak wajib nak ‘kisah’ sangat.

Keesokannya, sesi ‘bakar’ dosa dilaksanakan. Dosa yang tertulis di atas kertas, dibakar bersama-sama kertas tersebut sebagai simbol bahawa segala doa tersebut dah tak perlu diingat lagi. Mulakan hidup baru dengan harapan Allah telah ampunkan dosa-dosa yang terdahulu dan yang akan datang. Kemudian, pelajar bermaafan sesama mereka dan juga bermaafan dengan guru dan pihak pentadbir sekolah. Melihat titisan air mata mengalir di pipi mereka yang ibarat putik yang baru tumbuh, sebak rasa di hati. Minta-minta mereka akan istiqomah dalam perubahan mereka dan semoga Allah beri mereka kekuatan untuk menempuh dugaan yang bakal tiba. Kini, tugas fasi-fasi telah tamat di situ. Tinggal lagi ibu bapa, guru dan pelajar itu sendiri untuk mencorak hidup mereka. Selepas selesai semuanya, hati sangat berat untuk meninggalkan tempat itu. Aku termenung lama ke sekeliling tempat itu merakam setiap sudut yang ada. Biar lekat kuat dalam ingatan. Kalau-kalau rindu, boleh jua dibelek memori itu semula. Pondok Tok Selehor, nantikan kedatangan aku untuk kali kedua, ketiga dan seterusnya. Insha Allah..

Buah Fikiran: NAMA PENA

POLIS ZAMAN SEKARANG


Kalau aku jadi polis, aku kena selalu tabik. Letak jari susun rapat pada dahi diam seketika dengan muka macam cuka. Bila jumpa polis pangkat atas kena buat yang sama. Kena tabik. Kena hormat. Kalau jumpa orang ramai muka kena masam jangan senyum nanti tak nampak garang. Kalau aku jadi polis macam tu, aku akan rasa bosan. tu yang aku fikir jika aku polis. Kerana aku tak pernah jadi polis jadi rupa-rupanya tak semua polis macam itu. Mungkin ada satu tapi sepuluh lagi jauh lebih baik dari itu. Hari itu aku jumpa satu. Dia baru ambil kes jenayah, dia inspector dan aku adalah aku. Perempuan sinonim dengan rigid dan emosi tapi dia wanita tak serupa itu. Aku terkaku lihat professional dia baik punya sampai aku tertabik dalam hati tertarik dengan cara dia kerja layan pelanggan baik-baik. Boleh pun tak garang, takda misai panjang terjongket. Tapi boleh Nampak tegas Nampak hebat sampai kita gerun kita tabik sambil senyum. Aku yakin bukan dia saja, ada beribu ada berpuluh ribu polis serupa polis yang semua akan suka. Di zaman ini, polis tentu stress. Makin ramai penjenayah makin bertambah orang yang parah degil asyik langgar perintah buat ikut suka. Hari-hari ada saja kes baru kes cur iorang yang sama masuk penjara 4 5 kali tak jadi apa-apa. Asyik alpa dah mati nanti baru nak cari tasbih dan sejadah di bentang dah tak guna. Kasihan polis zaman sekarang kerja kuat tangkap orang. Kasihan….


Buah Fikiran: NAMA PENA

AKUI KEHEBATAN LELAKI, KEISTIMEWAAN WANITA


Fitrah lelaki diciptakan lebih pintar daripada wanita. Sungguhpun terdapat kajian yang menunjukkan kepintaran tidak dipengaruhi oleh jantina, akan tetapi terdapat lebih banyak kajian yang menunjukkan lelaki lebih hebat dalam aspek fikiran, jika dibandingkan dengan wanita.

Majoriti graduan kini adalah terdiri daripada wanita kerana sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan yang lebih memerlukan ketekunan daripada kemahiran berfikir. Jika diperhatikan di dalam sector-sektor pekerjaan, lebih ramai lelaki yang memenuhi bidang-bidang yang memerlukan kecerdasan fikiran seperti kejuruteraan, matematik dan sebagainya. Ini adalah kerana lelaki lebih hebat dalam aspek menyelesaikan masalah, kefahaman bacaan, hafalan dan sebagainya. Jadi tidak hairanlah jika ramai lelaki mengaku mereka lebih pintar daripada wanita.



 Kepintaran lelaki dan kehebatan mereka dalam bidang mereka juga didorong oleh corak kehidupan mereka yang lazimnya sering terdedah dengan kepimpinan, tanggungjawab dan pembuat keputusan. Namun, hal ini tidak sesekali menyangkal kehebatan wanita. Tiap sesuatu yang Allah ciptakan ada kelebihan dan kelemahannya. Bagi wanita, mereka merupakan golongan yang sering mendapat perhatian. Dalam Islam, hak wanita adalah dijaga baik. Sebab itu Islam telah meletakkan garis panduan khas untuk wanita supaya mereka ikut demi menjaga kesejahteraan mereka. Allah yang telah mencipta makhluknya jadi Dia sangat mengetahui dan memahami segala tentang makhluknya. Allah telah menciptakan wanita sebagai makhluk yang istimewa. Di dalam al-Quran, surah Annisa adalah menceritakan tentang wanita. Islam telah ajar wanita islam tentang cara hidup yang betul. Disuruh menjaga kehormatan, menutup aurat, taat ibubapa, taat suami, dan sebagainya. Kemudian dijanjikan pula syurga dengan syarat yang sedikit dan dilihat mudah. Selain itu, dikurniakan pula kebolehan melahirkan anak yang memberi berjuta manfaat dan kebaikan. Wanita sangat istimewa. Cuma kebanyakan wanita tidak mengerti soal ini. Dengan cara terlalu cintakan dunia, mereka lebih suka menikmati ‘syurga’ di dunia yang mana mereka telah menafikan cara hidup yang sebetulnya serta untuk menempuh jalan hidup mengikut kepala mereka sendiri. Langsung tidak menunjukkan kepintaran. Sebagai contoh yang paling banyak dan mudah iaitu aspek rasa malu. Islam tidak pernah menyuruh wanita untuk terlalu menonjol di khalayak kerana ia akan mendatangkan lebih banyak keburukan darpada kebaikan. Tetapi sangat ramai wanita kita berlumba-lumba untuk tampak lebih menonjol antara satu sama lain. Pelbagai kepelikan pakaian mula timbul. Masing-masing mengejar keburukan yang telah terang-terang disediakan hasil perbuatan tonjol menonjol tersebut.

Sungguh banyak keistimewaan wanita. Wajarlah setiap wanita memahami diri mereka, fitrah mereka dan bersyukur. Begitu juga lelaki yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga dan memimpin wanita.

Buah Fikiran: NAMA PENA

ANDA ADA 60 SAAT


Pepatah Melayu ada menyebut, masa itu emas. Orang cina pula ada berkata, masa itu emas. Tapi emas tak dapat beli masa. Dalam Al-quran Allah berfirman yang bermaksud: “Demi masa sesungguhnya manusia dalam kerugian.“ Masa, mahupun tempoh atau waktu, atau mungkin juga berkait rapat dengan jam, minit dan saat, senarai ini adalah sangat dekat dengan kita. Setiap daripada kita telah diberi 24 jam sehari sama banyak untuk dimanfaatkan. Namun, mengapa ada yang mahu lebih dan ada pula yang berasa terlalu banyak masa yang diberikan?

Persoalan ini jika nak dikupas sampai bila-bila pun takkan tamat kerana di dunia ini ada pelbagai ragam manusia dengan penggunaan masa masing-masing. Ada yang terlalu sibuk dengan kerja sehingga seakan tidak cukup masa untuk menyelesaikan tugas-tugas dalam masa 24 jam. Ada pula yang terpaksa membuat pelbagai kerja dalam satu masa kerana jika tidak, kerjanya takkan sempat siap. Namun, ada juga yang merasakan masa terlalu panjang tempohnya kerana dia tidak tahu untuk berbuat apa lagi dengan masa yang berbaki.

Di sini saya bukan hendak bercakap mengenai pengurusan masa dan cara mengisi masa, tetapi saya lebih tertarik untuk membincangkan  satu perkara yang sedang bermain-main di fikiran saya kini tentang sebenarnya tempoh 24jam untuk setiap kita adalah berbeza. Maksud saya adalah, 24 jam yang saya lalui sebenarnya berbeza tempohnya dengan 24 jam yang anda sedang lalui meskipun dalam kiraan kita, 24 jam adalah 24 jam, tiada 24 jam satu, dua ataupun yang ketiga. Percayakah anda tentang perkara ini?

Saya tidak pernah terjumpa sebarang kajian mengenai perkara ini. Bahkan saya juga tidak bercadang untuk melakukan kajian tentangnya. Namun, tanpa kajian tidak semestinya apa yang saya katakan adalah  salah. Ia boleh jadi betul, dan boleh jadi juga kurang tepat. Tapi ia tak mungkin salah kerana saya yakin dan percaya terdapat pelbagai rahsia di dunia ini. Dengan keterbatasan ilmu dan pengetahuan kita, kita tidak boleh sewenang-wenang menidakkan sesuatu hal lebih-lebih lagi jika ia berkait dengan kuasa Allah.

Pemandangan indah di Pondok Tok Selehor, Tumpat.

Seperti yang kita tahu, segala di dunia ini adalah ciptaan Allah, termasuk masa. Masa itu makhluk. Allah telah tetapkan ketetapan bagi masa. Sebagai makhluk Allah, masa terletak sepenuhnya atas kuasa Allah. Maka Allah berhak melakukan apa sahaja atas kehendakNya. Maka adalah tidak mustahil masa boleh berubah-rubah sama ada dengan kita sedar atau tidak. Lihat sahaja contoh yang paling ketara iaitu perbezaan waktu siang dan malam bagi tempat-tempat di atas bumi ini. Waktu siang di Afrika berbeza dengan tempoh waktu siang di Malaysia. Jadi sangat boleh terjadi 24 jam yg kita rasakan berbeza dengan 24 jam orang lain rasakan meskipun jarum saat masih sama-sama bergerak.

Sebenarnya terlalu banyak bukti yang menyokong dakwaan saya tentang masa kita berbeza-beza. Kesimpulannya, gunakan lah masa yang tersedia untuk beribadah dan beramal solih. Kita boleh meminta agar dipanjangkan lagi masa bagi kita untuk beribadat dan bertaubat. Semoga kita sentiasa sedar dan tak leka tentang perjalanan masa kita kerana sesaat yang berlalu takkan dapat digantikan lagi. Ia akan pergi dan terus pergi.

Buah fikiran: NAMA PENA

17 September 2012

TIPS INSAN CEMERLANG, 3 Tips Menuntut Ilmu - (Coretan Guru Bertugas)

Assalamualaikum

Sebagai seorang guru, saya juga diberikan beberapa tugas lain yang diluar norma proses pengajaran semata-mata. Antaranya adalah tugas yang baru saya dapat tadi iaitu 'guru bertugas mingguan'. Tugas-tugas guru bertugas ini tidak perlulah saya terangkan kerana saya rasa para pembaca juga pernah mengenali mana-mana guru yang pernah menjadi guru bertugas, dan begitulah tugas saya.

Cuma tujuan entri kali ini adalah untuk berkongsi, beberapa perkara yang saya akan sebutkan dalam 'tazkirah motivasi' saya setiap pagi semasa perhimpunan. Saya akan ambil masa lebih kurang 5 minit untuk bercakap dan memberikan input berguna buat renungan dan amalan para pelajar. Disebabkan saya hanya mempunyai 3 hari sahaja lagi untuk digunakan di pentas perhimpunan, maka saya sediakan 3 input untuk disampaikan kepada para pelajar, iaitu '3 Tips Menuntut Ilmu'.

Hari 1 - NIAT YANG BETUL
Setiap penuntut ilmu mesti ada niat yang betul. Awal pagi usai bangun dari tidur, terus pasangkan niat untuk mandi, pakai uniform sekolah, makan etc, semata-mata sebagai persediaan untuk melangkah kaki ke sekolah untuk menuntut ilmu kerana Allah dan untuk menjadikan diri jauh lebih pandai dari hari semalam. Mesti ada niat sebegitu setiap pagi! Ramai antara kita yang pergi balik ke sekolah setiap hari, setiap tahun selama beberapa tahun, tanpa ada niat langsung. Perkara ini terjadi kerana kita sudah menjadikan pergi ke sekolah itu satu rutin, 'setiap hari aku pergi kerana hari-hari sebelum ini pun aku pergi'. 'Setiap hari aku pergi sekolah, sebab kawan-kawan aku semuanya pergi sekolah'. Akibatnya, persediaan kita untuk belajar adalah berada di tahap kosong. Semasa buka mata dari tidur, terus niat aku hendak ke sekolah sebentar lagi 'untuk mendapatkan keredhaan Allah dan untuk menjadi lebih pandai dari semalam'. Apabila mandi, terus niatkan di hati tujuan mandi, 'untuk menyegarkan badan dan bersedia untuk menuntut ilmu di sekolah nanti'. Begitulah juga halya dengan semasa sarapan, semasa berjalan ke sekolah, semasa masuk kelas dan sebagainya. Kita kena tahu apa kita buat, dan kenapa kita buat sesuatu perkara itu. Rasulullah bersabda, 'Sesungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat'.

Hari 2 - OBJEKTIF DAN MATLAMAT
Setiap orang yang menuntut ilmu mesti ada objektif mereka menuntut ilmu. Kita mesti jelas dan faham objektif diri kita masing-masing. Kita mesti pasangkan niat 'untuk jadi lebih pandai dari semalam' sebagai objektif mengapa kita handak belajar hari ini. Dengan harapan, selepas habis sesi persekolahan hari ini, kita menjadi seorang insan yan lebih pandai dan cemerlang dari semalam. Kemudian, perlu juga mesti ada matlamatnya. Kita harus melihat, ke mana halatuju pembelajaran kita? Sejauh mana kita mahu faham? Apa cita-cita kita? Berapa gaji kita mahu? Adakah rakan-rakan, corak belajar, kerajinan, nota-nota dsb, yang kita ada sekarang ini berada di landasan yang tepat untuk membawa kita ke arah matlamat kita itu? Kalau ya, tetapkan landasan itu, kukuhkan, jangan ubah-ubah. Biar grafnya terus menaik, lurus dan terus menuju impian kita. Kalau ianya tidak berada di landasan yang tepat, maka jangan tunggu, ubah sekarang! Ubah cara hidup kita, ubah diri kita, supaya jalan yang kita lalui sekarang selari dengan impian kita. Jangan masuk jalan lain, nanti tak sampai destinasi.

Hari 3 - USAHA CARA KITA, DAN TAWAKKAL
Selepas kita ada niat yang jelas, objektif dan matlamat yang jelas, kita dikategorikan sebagai orang yang ada kesedaran dan kefahaman. Maknanya kita sedar apa kita mahu, kita sedar kemampuan kita, dan kita sedar senang atau susah nak capai apa yang kita impikan itu. Apa bila kita sudah jadi orang yang 'faham dan sedar' ini, barulah kita boleh melangkah ke langkah ketiga, iaitu berusaha dengan cara sendiri. Usah peduli kata orang tentang bagaimana harus kita belajar begitu dan begini, kita pilih cara, tempat, masa, dengan siapa, dan segala detil yang paling sempurna mustajab untuk dipraktikkan kepada diri kita sendiri yang mana dengan melakukannya, nescaya kita boleh belajar dengan baik. Kalau kita suka buat latih tubi, buatlah latih tubi. Kalau suka salin nota ringkas, salinlah. Kalau suka 'study group', pergilah. Kalau suka belajar di tepi kolam, carilah kolam mana yang kita maksudkan dan belajarlah di sana. Persediaan diri dan keselesaan diri amat penting dalam belajar. Belajarlah dengan niat, objektif dan matlamat yang sangat jelas, supaya ianya menjadi pelonjak kita untuk tidak berhenti berusaha, dan akhirnya menggapai satu persatu impian kita. Amaran, 'usaha cara sendiri' ini hanya boleh dilakukan oleh pelajar-pelajar yang 'faham dan sedar' sahaja. Bagi pelajar yang belum 'faham dan sedar', bantuan dan desakan oleh guru, ibu bapa dan rakan-rakan adalah masih diperlukan. Kemudian, selepas habis bersedia, menyiapkan diri dan berusaha, serahkan segalanya kepada Allah, tawakkallah. Berdoa dan mohon kepada Allah supaya apa yang kita hendak itu, kita capai. Jadilah spesifik dalam berdoa, ambil masa, jangan gopoh, berdoalah kepada Allah, minta betul-betul apa sebenarnya yang kita mahu.

InshaAllah, jadilah pelajar yang bersedia dan bermatlamat. Jadikan setiap amalan itu ibadah, dan teruslah menjadikan diri kita lebih baik dari hari ke hari. Jangan berhenti mencuba, kerana Allah tidak pernah berhenti mengabulkan hajat hambaNya, Allah tidak pernah berhenti merahmati hambaNya. 

Wallahua'lam.

Syafiq Fadeli
17 / 9 / 2012



Bersiar-siar mencari inspirasi di Taman Tengku Anis, Kota Bharu - With Wife

16 September 2012

Semenanjung Malaysia VS Sabah Sarawak

Sejak akhir-akhir ini, panas betul isu Semenanjung Malaysia VS Sabah Sarawak. Kenapa kita suka untuk saling bermusuh? Kenapa ada saja insan yang keluarkan kenyataan-kenyataan yang berunsur perkauman yang membawa permusuhan? Kenapa kemudiannya, ada saja orang share dan re-post kenyataan-kenyataan ini dimerata-rata seolah-olah sengaja mahu melaga-lagakan?

Kita satu negara, rakyat Malaysia. Kelantan sebuah negeri, Selangor pun sebuah negeri lain, kenapa tidak bermusuh? Sebab tiada laut di antara kedua-dua negeri? Jadi, semenanjung mahu bermusuh dengan Sabah Sarawak sebab ada laut di tengah-tengah? Timbuslah laut tu kalau boleh.

Berlapang dadalah, berfikiran positiflah. Berbuat baiklah dengan semua orang. Tiada rugi kita buat baik, cakap baik, taip baik. Sebelum kita kutuk orang, fikirkanlah akibatnya dahulu. Fikirkanlah diri kita dahulu, adakah kita Maha Sempurna sehingga layak mengutuk orang lain?

Jangan balik ke era Arab Jahiliyah, asabiyyah, berbangga dan bermegah dengan kaum sendiri. Segala-gala tentang kaum kita, semuanya betul. Kaum lain salah. Rasulullah hadir menyatukan kaum-kaum ini, tiba-tiba hari ini kita buka balik buku baru siri perkauman. Tak perlu bermusuh. Anjing dan kucing di rumah pun kita sayang, kita mandikan, kita belai, walaupun dia bukan manusia pun. Takkanlah sesama manusia ni kita nak bermusuh? Manusia memang banyak kaum, banyak negeri, banyak latar belakang, tapi masih manusia. Kan?

Berlapang dadalah. Hormat-menghormatilah. Rasulullah sendiri melarang orang Islam menghina Tuhan penganut agama lain, kerana tidak mahu mereka menghina Tuhan kita, Allah. Belajarlah dari pesan Nabi itu, janganlah hina orang lain, jika tidak kita pasti akan dibalas juga. Jika tidak mahu hati disakiti, jangan sakiti hati orang lain.

Ingat Allah
Ingat nilai kemanusiaan
Ingat perpaduan

Ya Allah, Kau permudahkanlah, amiin.




Orang Semenanjung dan Borneo, apa yang ada di bawah kulit kita?
Ya, sama saja, Flesh and Blood.

Innocence of Muslims - Respon Saya

MEMALUKAN

Itulah respon saya untuk penyiaran filem Innocence of Muslims yang terang-terangan menghina Nabi Muhammad SAW.

Apabila kita berada di pihak yang benar, kita tidak perlu untuk menjatuhkan pihak lain kerana kerana ianya sudah pasti lemah dan palsu. Tanpa berbuat apa-apa pun kita tetap menang, bukankah cahaya kebenaran itu sangat terang dan sangat mudah dikesan? Maka apa yang perlu dibuat ialah menyebarkan cahaya kebenaran kita, bukannya menunjukkan kegelapan orang lain.

Namun bila kita sedar yang kita memang salah, orang lain yang benar, sebab itulah kita cuba sedaya upaya untuk mencerahkan kegelapan kita, dan menggelapkan cahaya orang. Yang mana akhirnya, ianya tidak merubah apa-apa.

Islam itu benar, maka bagaimanakah kamu ingin menjadikan ia bohong?

Kamu boleh memfitnah buah epal itu adalah oren, tapi adakah akhirnya ia akan jadi oren? Tidak, ia epal juga.

Bebas Ber-FACEBOOK Ada Cerdik Bodohnya

Kebebasan menggunakan Facebook sebagai medium untuk memberi respon dan kritikan adalah bagus kerana dengannya kita dapat membaca banyak idea dan pendapat dari pelbagai tempat dan pelosok dunia, sekaligus membuka minda kita dalam menilai sesuatu kejadian dengan lebih pintar dan rasional.

Pastinya, banyak idea-idea kurang cerdik juga dilemparkan ke dinding facebook. Tak kurang juga idea kurang cerdik yang seolah-olah tidak membantu dalam memahami sesuatu kejadian itu.
Biarlah... Semua orang ada masanya untuk 'membesar'. Ideanya masa muda lain, masa dewasa lain, masa tuanya lain. Tidak kiralah muda, dewasa dan tua itu dikira dari sudut umur atau kematangan.
Yang pasti, kita semua ada suatu masa yang kita gelar 'waktu muda' yang kita banyak buat perkara yang agak agresif. Kemudian datang 'waktu dewasa' yang kita mula jadi rasional dan matang. Akhirnya datanglah 'waktu tua' yang kita banyak buat perkara pintar dan berhikmah.

Mungkin kita tidaklah begitu pintar dan berhikmah semasa tua jika dibandingkan dengan orang-orang tua lain. Tapi, cukuplah kita menjadi pintar dan berhikmah semasa dibandingkan dengan diri kita pada tahun-tahun terdahulu.

Jadi, lapangkanlah dada. Usah menghina dan merendah-rendahkan kenyataan orang lain di Facebook yang kita rasa kurang pintar. Berilah dia masa untuk 'membesar'.

Atau mungkin, kita yang masih budak-budak dan tidak faham kepintaran orang lain yang 'post' sesuatu yang 'kita rasa' kurang pintar.

Lapangkan dada, hormat.

SYAFIQ FADELI (Sept, 2012)