16 October 2012

Anuar Zain - Sedetik Lebih

Setiap nafas yang dihembus
Setiap degupan jantung
Aku selalu memikirkanmu

Dalam sedar dibuai angan
Dalam tidur dan khayalan
Aku selalu memikirkanmu

Ternyata ku perlukan cinta dari dirimu sayang
Barulah terasa ku bernyawa

Kasihku ku amat mencintai kamu
Kerana kau beri erti hidup
Ku kan terus mencinta sedetik lebih 
selepas selamanya

Di kala penuh ketakutan dengan badai kehidupan
Ku bersyukur adanya kamu

Biarlah kehilangan semua yang dimiliki di dunia
Asal masih adanya kamu

YOUTUBE: Anuar Zain - Sedetik Lebih


Bagi saya:
Semua tahu, lagu ini sangat sedap. Adunan rempah dan kisah dari Edry KRU ini memang hebat, sekali dengar pun sudah terbukti kemampuannya. Ditambah dengan liriknya yang menyentuh kalbu, lagu ini lengkap pakejnya untuk menjadi siulan rakyat Malaysia dalam monotone dan ala-nyanyian, maklumlah lagu asalnya dinyanyikan oleh penyanyi lelaki terhebat negara, Anuar Zain, dengan penuh penghayatan dan lenggok suara yang sungguh profesional.

Namun apa yang menarik minat saya bukanlah semata-mata kehebatan vokal dan lagu ini, tetapi 'rasa' yang dibawanya bersama. Saya tidak tahu, siapakah 'kamu' di dalam lagu ini dan saya memang tidak tahu kepada siapakah lagu ini ditujukan, hanya penulis liriknya sahaja yang faqih tentang ini. Namun bagi telinga dan akal saya, secara langsung atau tidak, dengan sengaja atau kebetulan, sebenarnya lagu ini mengandungi luahan cinta seorang hamba kepada Tuhannya, Allah.

Mungkin ada pendengar yang tidak bersetuju dengan pendapat saya di atas, namun tidak mengapa, pendapat masing-masing. Namun yang penting adalah refleksi saya tentang lagu sebegini di bawah ini.

Saya teruja, untuk mendengar lagu-lagu ketuhanan yang dialun dan diadun hebat sebegini. Cliche, stereotype, predictable, lagu-lagu ketuhanan biasanya kuat liriknya namun lemah melodi dan muziknya. Kos pembuatannya mahal, namun bila didengar-dengar, macam lebih kurang saja lagu-lagu itu. Lain halnya dengan sahabat Indonesia kita, walaupun artis yang menyanyikan lagu ketuhanan ada yang tidak menutup aurat, namun kualiti lagunya amat bagus, keluar dari normaliti nasyid yang telah diset umum.

Kalau boleh, komposer-komposer yang mahir dalam mengadun lagu dan muzik yang segar dan hebat, melibatkan diri juga dengan penghasilan lagu-lagu hebat seperti Sedetik Lebih ini. Biar rasa cinta kepada Allah itu menjadi satu luahan paling sedap pernah didengar rakyat Malaysia ini. Jika kepada kekasih, kita mampu mencipta melodi hebat, takkanlah kepada Allah melodi-melodi hebat itu tidak terbit di minda? Sebenarnya boleh sahaja, cuma mungkin masih ramai yang malas dan menunggu 'seru'.

Mari kita lihat, sebuah lagu ketuhanan yang amat sedap menjuarai Juara Lagu (Muzik-muzik). Mari kita lihat, sebuah lagu ketuhanan menggondol pelbagai macam anugerah berprestij. Mustahilkah? Tidak sama sekali.

Wallahua'lam.

SYAFIQ FADELI

08 October 2012

SOHORtiadaMARUAH



Idea mencurah, aku tidak sempat memikirkan format, jadi tolong hormat. Kalau tiada angin, masakan pohon bergoyang? Usah dibilang, buat penat sahaja membilang jumlah kenyataan-kenyataan dari sumber pelbagai yang membawa kesan kepada diri kita. Beribu-ribu pandangan baik dipalitkan kepada kita, tiba-tiba satu fitnah kotor tercalit di dahi, semua orang nampak, semua kebaikan tertanam tidak berbatu nisan. Kenapa kita sangat suka kepada perkara negatif? Sukanya kita bila baca majalah, ada kisah tangkap khalwat, kisah rompak, kisah bunuh, betapa tertariknya kita untuk baca. Otak sudah tertusuk papan tanda negatif sehinggakan berita-berita positif dikira sebagai membosankan dan membebankan untuk diketahui. Seronoknya kita mendengar seseorang mengadu domba menghambur fitnah terhadap seseorang, teruja dengan kedahsyatan ceritanya, terus terpasang niat untuk menyampaikan berita yang sama kepada rakan-rakan lain. Bangganya kita apabila kitalah yang menjadi orang pertama yang menyampaikan berita dahsyat seseorang itu kepada orang lain. Semua orang terkejut, semua tertanya-tanya dari mana kita tahu perkara seaib ini, ini cerita di dalam kelambu, kita pula bangga menjadi seorang penyelak kelambu. Walaupun kelambu yang diselak itu ada 7 lapis, kita selak selapis, tapi kita sudah berani pandai-pandai meneka apa kejadian di balik lapisan ke-7. Sungguh nujum dan handal kita meramal kisah di belakang dinding. Bagaimana pula reaksi kita dengan piala-piala dan pingat-pingat dan tauliah-tauliah yang terpampang di dinding? Tidak berminat. Sebab semua itu terpampang, semua orang pun boleh nampak. Kita suka benda yang orang tidak tahu, kita yang memberitahukan. Murahnya maruah kita mencipta nama dengan memijak kepala orang lain dengan but keras, terkapai-kapai kesakitan mereka di bawah, menggelupur meminta simpati, namun kita tiada belas kasihan. Kita sudah terlalu biasa, sudah rutin, memijak yang lemah, memijak mangsa asalkan kita puas dan jadi orang hebat yang membawa berita hangat yang orang lain tidak tahu. Bodoh dan kurang pintar perancangan masa depan kita. Orang berjaya membina roket ke bulan, kemudian mereka ke bulan, dan balik menceritakan apa ada di bulan. Itu pun berita yang orang lain tidak tahu juga, tapi itu berita benar dan bermaruah. Orang handal bina enjin, bina telefon, bina falsafah, bina bangunan, kesemuanya membuatkan manusia kagum, sebab mereka handal di padang yang betul. Mereka punya modal bermaruah, mereka berusaha dengan maruah, mereka membina dengan maruah, dan mereka ceritakan kejayaan mereka dengan maruah. Mereka orang bermaruah yang sempurna. Kita? Kita reka satu fitnah, dan sebarkan kepada umum. Hina dan keji tahap teratas. Apa modal kita? Sedikit idea salah, dan sedikit air liur, kemudian hendak disanjung, diangkat dan dijulang. Bagi kita itulah kononnya jalan pintas menjadi handal. Tidak, itu jalan pintas ke neraka, jalan pintas ke padang orang-orang keji. Masuklah, duduk diam-diam dalam sana. Fitnahlah kaki fitnah lain, berfitnahlah kamu sesama keldai penjaja fitnah, kenapa dikacau insan mulia di padang timur? Kalau sudah kering idea di otak, sudah habis cerita di minda, diam sajalah. Buat apa memaksa diri bercerita. Siapa paksa kita untuk bercerita? Tiada siapa. Kita sahaja yang gatal mulut, dengki tengok ramai kawan-kawan mengerumuni seseorang yang ada cerita panas. Sepanas api neraka yang bakal membakar setiap inci tubuhnya, sepanas kegeraman mangsa fitnah. Orang lain bina bangunan besar-besar, kita tawarkan diri untuk letak sebijik permata di puncak menaranya, sudahlah cuma pakai gam sahaja, tapi mahu nama kita duduk di tangga pertama di dalam senarai pembina bangunan. Hanya kerana seketul permata yang tanpanya pun bangunan itu tetap unggul. Habis. Cukup. Akhir. Mari datang bawa tujuh puluh mata pedang, bawa tujuh ribu hulubalang, tujuh puluh ribu tabik aku boleh bagi kau senang-senang. Kau sebutkan berapa banyak lagi tabik kamu mahu, aku berikan. Walaupun jumlah tabikku beribu malah tidak terhitung, namun jumlah hormatku satu pun tidak tersampai. Idea mencurah, aku tidak sempat memikirkan format, jadi tolong hormat.