08 October 2012

SOHORtiadaMARUAH



Idea mencurah, aku tidak sempat memikirkan format, jadi tolong hormat. Kalau tiada angin, masakan pohon bergoyang? Usah dibilang, buat penat sahaja membilang jumlah kenyataan-kenyataan dari sumber pelbagai yang membawa kesan kepada diri kita. Beribu-ribu pandangan baik dipalitkan kepada kita, tiba-tiba satu fitnah kotor tercalit di dahi, semua orang nampak, semua kebaikan tertanam tidak berbatu nisan. Kenapa kita sangat suka kepada perkara negatif? Sukanya kita bila baca majalah, ada kisah tangkap khalwat, kisah rompak, kisah bunuh, betapa tertariknya kita untuk baca. Otak sudah tertusuk papan tanda negatif sehinggakan berita-berita positif dikira sebagai membosankan dan membebankan untuk diketahui. Seronoknya kita mendengar seseorang mengadu domba menghambur fitnah terhadap seseorang, teruja dengan kedahsyatan ceritanya, terus terpasang niat untuk menyampaikan berita yang sama kepada rakan-rakan lain. Bangganya kita apabila kitalah yang menjadi orang pertama yang menyampaikan berita dahsyat seseorang itu kepada orang lain. Semua orang terkejut, semua tertanya-tanya dari mana kita tahu perkara seaib ini, ini cerita di dalam kelambu, kita pula bangga menjadi seorang penyelak kelambu. Walaupun kelambu yang diselak itu ada 7 lapis, kita selak selapis, tapi kita sudah berani pandai-pandai meneka apa kejadian di balik lapisan ke-7. Sungguh nujum dan handal kita meramal kisah di belakang dinding. Bagaimana pula reaksi kita dengan piala-piala dan pingat-pingat dan tauliah-tauliah yang terpampang di dinding? Tidak berminat. Sebab semua itu terpampang, semua orang pun boleh nampak. Kita suka benda yang orang tidak tahu, kita yang memberitahukan. Murahnya maruah kita mencipta nama dengan memijak kepala orang lain dengan but keras, terkapai-kapai kesakitan mereka di bawah, menggelupur meminta simpati, namun kita tiada belas kasihan. Kita sudah terlalu biasa, sudah rutin, memijak yang lemah, memijak mangsa asalkan kita puas dan jadi orang hebat yang membawa berita hangat yang orang lain tidak tahu. Bodoh dan kurang pintar perancangan masa depan kita. Orang berjaya membina roket ke bulan, kemudian mereka ke bulan, dan balik menceritakan apa ada di bulan. Itu pun berita yang orang lain tidak tahu juga, tapi itu berita benar dan bermaruah. Orang handal bina enjin, bina telefon, bina falsafah, bina bangunan, kesemuanya membuatkan manusia kagum, sebab mereka handal di padang yang betul. Mereka punya modal bermaruah, mereka berusaha dengan maruah, mereka membina dengan maruah, dan mereka ceritakan kejayaan mereka dengan maruah. Mereka orang bermaruah yang sempurna. Kita? Kita reka satu fitnah, dan sebarkan kepada umum. Hina dan keji tahap teratas. Apa modal kita? Sedikit idea salah, dan sedikit air liur, kemudian hendak disanjung, diangkat dan dijulang. Bagi kita itulah kononnya jalan pintas menjadi handal. Tidak, itu jalan pintas ke neraka, jalan pintas ke padang orang-orang keji. Masuklah, duduk diam-diam dalam sana. Fitnahlah kaki fitnah lain, berfitnahlah kamu sesama keldai penjaja fitnah, kenapa dikacau insan mulia di padang timur? Kalau sudah kering idea di otak, sudah habis cerita di minda, diam sajalah. Buat apa memaksa diri bercerita. Siapa paksa kita untuk bercerita? Tiada siapa. Kita sahaja yang gatal mulut, dengki tengok ramai kawan-kawan mengerumuni seseorang yang ada cerita panas. Sepanas api neraka yang bakal membakar setiap inci tubuhnya, sepanas kegeraman mangsa fitnah. Orang lain bina bangunan besar-besar, kita tawarkan diri untuk letak sebijik permata di puncak menaranya, sudahlah cuma pakai gam sahaja, tapi mahu nama kita duduk di tangga pertama di dalam senarai pembina bangunan. Hanya kerana seketul permata yang tanpanya pun bangunan itu tetap unggul. Habis. Cukup. Akhir. Mari datang bawa tujuh puluh mata pedang, bawa tujuh ribu hulubalang, tujuh puluh ribu tabik aku boleh bagi kau senang-senang. Kau sebutkan berapa banyak lagi tabik kamu mahu, aku berikan. Walaupun jumlah tabikku beribu malah tidak terhitung, namun jumlah hormatku satu pun tidak tersampai. Idea mencurah, aku tidak sempat memikirkan format, jadi tolong hormat.


No comments: