31 January 2011

Rasulullah Menangis Di Padang Mahsyar


Dari Usman bin Affan bin Dahaak bin Muzahim daripada Abbas ra, bapa saudara Rasulullah SAW dari Rasulullah SAW telah bersabda, yang bermaksud: “Aku adalah orang (manusia) yang paling awal dibangkitkan dari kubur (bumi) pada hari kiamat yang tiada kebanggaan. Bagiku ada syafaat pada hari kiamat yang tiada kemegahan. Bendera pujian di tanganku dan nabi-nabi keseluruhannya berada di bawah benderaku. Umatku adalah umat yang terbaik. Mereka adalah umat yang pertama dihisab sebelum umat yang lain. Ketika mereka bangkit dari kubur, mereka akan mengibas (membuang) tanah yang ada di atas kepala mereka. Mereka semua akan berkata: “Kami bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan kami bersaksi bahawa Muhammad itu Rasulullah. Inilah yang telah dijanjikan oleh Allah Taala serta dibenarkan oleh para rasul.”
Ibnu Abbas ra berkata: “Orang yang pertama dibangkitkan dari kubur di hari kiamat ialah Muhammad SAW. Jibril as akan datang kepadanya bersama seekor Buraq. Israfil pula datang dengan membawa bersama bendera dan mahkota. Izrail pula datang dengan membawa bersamanya pakaian-pakaian syurga.”
Jibril as akan menyeru: “Wahai dunia! Di mana kubur Muhammad SAW?”
Bumi akan berkata: “Sesungguhnya, Tuhanku telah menjadikan aku hancur. Telah hilang segala lingkaran, tanda dan gunung-ganangku. Aku tidak tahu dimana kubur Muhammad SAW.”
Rasulullah SAW bersabda: “Lalu diangkatkan tiang-tiang dari cahaya dari kubur Nabi Muhammad SAW ke awan langit. Maka, empat malaikat berada di atas kubur.”
Israfil bersuara: “Wahai roh yang baik! Kembalilah ke tubuh yang baik!”
Maka, kubur terbelah dua. Pada seruan yang kedua pula, kubur mula terbongkar. Pada seruan yang ketiga, ketika Rasulullah SAW berdiri, baginda SAW telah membuang tanah di atas kepala dan janggut baginda SAW. Baginda SAW melihat kanan dan kiri. Baginda SAW dapati, tiada lagi bangunan. Baginda SAW menangis sehingga mengalir air matanya ke pipi.
Jibril as berkata kepadanya: “Bangun wahai Muhammad! Sesungguhnya kamu di sisi Allah Taala di tempat yang luas.”
Baginda SAW bertanya, “Kekasihku Jibril! Hari apakah ini?”
Jibril as menjawab: “Wahai Muhammad! Janganlah kamu takut! Inilah hari kiamat. Inilah hari kerugian dan penyesalan. Inilah hari pembentangan Allah Taala.”
Baginda SAW bersabda: “Kekasihku Jibril! Gembirakanlah aku!”
Jibril as berkata: “Apakah yang kamu lihat di hadapanmu?”
Baginda SAW bersabda: “Bukan seperti itu pertanyaanku.”
Jibril as berkata: “Adakah kamu tidak melihat bendera kepujian yang terpacak di atasmu?”
Baginda SAW bersabda: “Bukan itu maksud pertanyaanku. Aku bertanya kepadamu akan umatku. Di mana perjanjian mereka?”
Jibril as berkata: “Demi keagungan Tuhanku! Tidak akan terbongkar oleh bumi daripada manusia, sebelummu?”
Baginda SAW bersabda: “Nescaya akan, kuatlah pertolongan pada hari ini. Aku akan mensyafaatkan umatku.”
Jibril as berkata kepada baginda SAW: “Tungganglah Buraq ini wahai Muhammad SAW dan pergilah ke hadapan Tuhanmu!”
Jibril as datang bersama Buraq ke arah Nabi Muhammad SAW. Buraq cuba meronta-ronta. Jibril as berkata kepadanya: “Wahai Buraq! Adakah kamu tidak malu dengan makhluk yang paling baik dicipta oleh Allah Taala? Sudahkah Allah Taala perintahkan kepadamu agar mentaatinya?”
Buraq berkata: “Aku tahu semua itu. Akan tetapi, aku ingin dia mensyafaatiku agar memasuki syurga sebelum dia menunggangku. Sesungguhnya, Allah Taala akan datang pada hari ini di dalam keadaan marah. Keadaan yang belum pernah terjadi sebelum ini.”
Baginda SAW bersabda kepada Buraq: “Ya! Sekiranya kamu berhajatkan syafaatku, nescaya aku memberi syafaat kepadamu.”
Setelah berpuas hati, Buraq membenarkan baginda SAW menunggangnya lalu dia melangkah. Setiap langkahan Buraq sejauh pandangan mata. Apabila Nabi Muhammad SAW berada di Baitul Maqdis di atas bumi dari perak yang putih, malaikat Israfil as menyeru: “Wahai tubuh-tubuh yang telah hancur, tulang-tulang yang telah reput, rambut-rambut yang bertaburan dan urat-urat yang terputus-putus! Bangkitlah kamu dari perut burung, dari perut binatang buas, dari dasar laut dan dari perut bumi ke perhimpunan Tuhan yang Maha Perkasa.
Roh-roh telah diletakkan di dalam tanduk atau sangkakala. Di dalamnya ada beberapa tingkat dengan bilangan roh makhluk. Setiap roh, akan didudukkan berada di dalam tingkat. Langit di atas bumi akan menurunkan hujan dari lautan kehidupan akan air yang sangat pekat seperti air mani lelaki. Daripadanya, terbinalah tulang-tulang. Urat-urat memanjang. Daging kulit dan bulu akan tumbuh. Sebahagian mereka akan kekal ke atas sebahagian tubuh tanpa roh.
Allah Taala berfirman: “Wahai Israfil! Tiup tanduk atau sangkakala tersebut dan hidupkan mereka dengan izinKu akan penghuni kubur. Sebahagian mereka adalah golongan yang gembira dan suka. Sebahagian dari mereka adalah golongan yang celaka dan derita.”
Malaikat Israfil as menjerit: “Wahai roh-roh yang telah hancur! Kembalilah kamu kepada tubuh-tubuh mu. Bangkitlah kamu untuk dikumpulkan di hadapan Tuhan semesta alam.”
Allah Taala berfirman:“Demi keagungan dan ketinggianKu! Aku kembalikan setiap roh pada tubuh-tubuhnya!”
Apabila roh-roh mendengar sumpah Allah Taala, roh-roh pun keluar untuk mencari jasad mereka. Maka, kembalilah roh pada jasadnya. Bumi pula terbongkar dan mengeluarkan jasad-jasad mereka. Apabila semuanya sedia, masing-masing melihat. Nabi SAW duduk di padang pasir Baitul Maqdis, melihat makhluk-makhluk. Mereka berdiri seperti belalang yang berterbangan. 70 umat berdiri. Umat Nabi Muhammad SAW merupakan satu umat (kumpulan). Nabi SAW berhenti memperhatikan ke arah mereka. Mereka seperti gelombang lautan.
Jibril as menyeru: “Wahai sekalian makhluk, datanglah kamu semua ke tempat perhimpunan yang telah disediakan oleh Allah Taala.”
Umat-umat datang di dalam keadaan satu-satu kumpulan. Setiap kali Nabi Muhammad SAW berjumpa satu umat, baginda SAW akan bertanya: “Di mana umatku?”
Jibril as berkata: “Wahai Muhammad! Umatmu adalah umat yang terakhir.”
Apabila nabi Isa as datang, Jibril as menyeru: Tempatmu!” Maka nabi Isa as dan Jibril as menangis.
Nabi Muhammad SAW berkata: “Mengapa kamu berdua menangis.”
Jibril as berkata: “Bagaimana keadaan umatmu, Muhammad?”
Nabi Muhammad bertanya: “Di mana umatku?”
Jibril as berkata: “Mereka semua telah datang. Mereka berjalan lambat dan perlahan.”
Apabila mendengar cerita demikian, Nabi Muhammad SAW menangis lalu bertanya: “Wahai Jibril! Bagaimana keadaan umatku yang berbuat dosa?”
Jibril as berkata: “Lihatlah mereka wahai Muhammad SAW!”
Apabila Nabi Muhammad SAW melihat mereka, mereka gembira dan mengucapkan selawat kepada baginda SAW dengan apa yang telah Allah Taala muliakannya. Mereka gembira kerana dapat bertemu dengan baginda SAW. Baginda SAW juga gembira terhadap mereka. Nabi Muhammad SAW bertemu umatnya yang berdosa. Mereka menangis serta memikul beban di atas belakang mereka sambil menyeru: “Wahai Muhammad!”
Air mata mereka mengalir di pipi. Orang-orang zalim memikul kezaliman mereka. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Wahai umatku.” Mereka berkumpul di sisinya. Umat-umatnya menangis.
Ketika mereka di dalam keadaan demikian, terdengar dari arah Allah Taala seruan yang menyeru: “Di mana Jibril?”
Jibril as berkata: “Jibril di hadapan Allah, Tuhan semesta alam.”
Allah Taala berfirman di dalam keadaan Dia amat mengetahui sesuatu yang tersembunyi: “Di mana umat Muhammad SAW?”
Jibril as berkata: “Mereka adalah sebaik umat.”
Allah Taala berfirman: “Wahai Jibril! Katakanlah kepada kekasihKu Muhammad SAW bahawa umatnya akan datang untuk ditayangkan di hadapanKu.”
Jibril as kembali di dalam keadaan menangis lalu berkata: “Wahai Muhammad! Umatmu telah datang untuk ditayangkan kepada Allah Taala.”
Nabi Muhammad SAW berpaling ke arah umatnya lalu berkata: “Sesungguhnya kamu telah dipanggil untuk dihadapkan kepada Allah Taala.”
Orang-orang yang berdosa menangis kerana terkejut dan takut akan azab Allah Taala. Nabi Muhammad SAW memimpin mereka sebagaimana pengembala memimpin ternakannya menuju di hadapan Allah Taala. Allah Taala berfirman: “Wahai hambaKu! Dengarkanlah kamu baik-baik kepadaKu tuduhan apa-apa yang telah diperdengarkan bagi kamu dan kamu semua melakukan dosa!”
Hamba-hamba Allah Taala terdiam. Allah Taala berfirman: “Hari ini, Kami akan membalas setiap jiwa dengan apa yang telah mereka usahakan. Hari ini, Aku akan memuliakan sesiapa yang mentaatiKu. Dan, Aku akan mengazab sesiapa yang menderhaka terhadapKu. Wahai Jibril! Pergi ke arah Malik, penjaga neraka! Katakanlah kepadanya, bawakan Jahanam!”
Jibril pergi berjumpa Malik, penjaga neraka lalu berkata: “Wahai Malik! Allah Taala telah memerintahkanmu agar membawa Jahanam.”
Malik bertanya: “Apakah hari ini?”
Jibril menjawab: “Hari ini adalah hari kiamat. Hari yang telah ditetapkan untuk membalas setiap jiwa dengan apa yang telah mereka usahakan.”
Malik berkata: “Wahai Jibril! Adakah Allah Taala telah mengumpulkan makhluk?”
Jibril menjawab: “Ya!”
Malik bertanya: “Di mana Muhammad dan umatnya?”
Jibril berkata: “Di hadapan Allah Taala!”
Malik bertanya lagi: “Bagaimana mereka mampu menahan kesabaran terhadap kepanasan nyalaan Jahanam apabila mereka melintasinya sedangkan mereka semua adalah umat yang lemah?”
Jibril berkata: “Aku tidak tahu!”
Malik menjerit ke arah neraka dengan sekali jeritan yang menggerunkan. Neraka berdiri di atas tiang-tiangnya. Neraka mempunyai tiang-tiang yang keras, kuat dan panjang. Api dinyalakan sehingga tiada kekal mata seorang dari makhluk melainkan bercucuran air mata mereka (semuanya menangis).
Air mata sudah terhenti manakala air mata darah manusia mengambil alih. Kanak-kanak mula beruban rambut. Ibu-ibu yang memikul anaknya mencampakkan mereka. Manusia kelihatan mabuk padahal mereka sebenarnya tidak mabuk.
Rasulullah SAW Membela Umatnya
Di padang mahsyar orang yang mula-mula berusaha ialah nabi Ibrahim as. Baginda bergantung dengan asap Arsy yang naik lalu menyeru: “TuhanKu dan Penguasaku! Aku adalah khalilMu Ibrahim. Kasihanilah kedudukanku pada hari ini! Aku tidak meminta kejayaan Ishak dan anakku pada hari ini.”
Allah Taala berfirman: “Wahai Ibrahim! Adakah kamu melihat Kekasih mengazab kekasihnya.”
Nabi Musa as datang. Baginda bergantung dengan asap Arsy yang naik lalu menyeru: “KalamMu. Aku tidak meminta kepadaMu melainkan diriku. Aku tidak meminta saudaraku Harun. Selamatkanlah aku dari kacau bilau Jahanam!”
Isa as datang di dalam keadaan menangis. Baginda bergantung dengan Arsy lalu menyeru: “Tuhanku… Penguasaku.. Penciptaku! Isa roh Allah. Aku tidak meminta melainkan diriku. Selamatkanlah aku dari kacau bilau Jahanam!”
Suara jeritan dan tangisan semakin kuat. Nabi Muhammad SAW menyeru: “Tuhanku.. Penguasaku Penghuluku…. !Aku tidak meminta untuk diriku. Sesungguhnya aku meminta untuk umatku dariMu!”
Ketika itu juga, neraka Jahanam berseru: “Siapakah yang memberi syafaat kepada umatnya?”
Neraka pula berseru: “Wahai Tuhanku… Penguasaku dan Penghuluku! Selamatkanlah Muhammad dan umatnya dari seksaannya! Selamatkanlah mereka dari kepanasanku, bara apiku, penyeksaanku dan azabku! Sesungguhnya mereka adalah umat yang lemah. Mereka tidak akan sabar dengan penyeksaan.”
Malaikat Zabaniah menolaknya sehingga terdampar di kiri Arsy. Neraka sujud di hadapan Tuhannya.
Allah Taala berfirman: “Di mana matahari?” Maka, matahari dibawa mengadap Allah Taala. Ia berhenti di hadapan Allah Taala.
Allah Taala berfirman kepadanya: “Kamu! Kamu telah memerintahkan hambaKu untuk sujud kepada kamu?”
Matahari menjawab. “Tuhanku! Maha Suci diriMu! Bagaimana aku harus memerintahkan mereka berbuat demikian sedangkan aku adalah hamba yang halus?”
Allah Taala berfirman: “Aku percaya!”
Allah Taala telah menambahkan cahaya dan kepanasannya sebanyak 70 kali ganda. Ia telah dihampirkan dengan kepala makhluk.”
Ibnu Abbas r.h. berkata: “Peluh manusia bertiti dan sehingga mereka berenang di dalamnya. Otak-otak kepala mereka menggeleggak seperti periuk yang sedang panas. Perut mereka menjadi seperti jalan yang sempit.
Air mata mengalir seperti air mengalir. Suara ratap umat-umat manusia semakin kuat.
Nabi Muhammad SAW lebih-lebih lagi sedih. Air matanya telah hilang dan kering dari pipinya. Sekali, baginda SAW sujud di hadapan Arsy dan sekali lagi, baginda SAW rukuk untuk memberi syafaat bagi umatnya.
Para Nabi melihat keluh kesah dan tangisannya. Mereka berkata: “Maha Suci Allah! Hamba yang paling dimuliakan Allah Taala ini begitu mengambil berat, hal keadaan umatnya.
Daripada Thabit Al-Bani, daripada Usman Am Nahari berkata: “Pada suatu hari Nabi SAW menemui Fatimah Az-Zahara’ r.h. Baginda SAW dapati, dia sedang menangis.”
Baginda SAW bersabda: “Permata hatiku! Apa yang menyebabkan dirimu menangis?”
Fatimah menjawab: “Aku teringat akan firman Allah Taala.”
“Dan, kami akan mehimpunkan, maka Kami tidak akan mengkhianati walau seorang daripada mereka.”
Lalu Nabi SAW pun menangis. Baginda SAW bersabda: “Wahai permata hatiku! Sesungguhnya, aku teringat akan hari yang terlalu dahsyat. Umatku telah dikumpulkan pada hari kiamat dikelilingi dengan perasaan dahaga dan telanjang. Mereka memikul dosa mereka di atas belakang mereka. Air mata mereka mengalir di pipi.”
Fatimah r.h. berkata: “Wahai bapaku! Apakah wanita tidak merasa malu terhadap lelaki?”
Baginda SAW menjawab: “Wahai Fatimah! Sesungguhnya, hari itu, setiap orang akan sibuk dengan untung nasib dirinya. Adapun aku telah mendengar Firman Allah Taala:” Bagi setiap orang dari mereka, di hari itu atau satu utusan yang melalaikan dia.( Abasa: 37)
Fatimah ra. bertanya: “Di mana aku hendak mendapatkanmu di hari kiamat nanti, wahai bapaku?”
Baginda SAW menjawab: “Kamu akan menjumpaiku di sebuah telaga ketika aku sedang memberi minum umatku.”
Fatimah r.h. bertanya lagi: “Sekiranya aku dapati kamu tiada di telaga?”
Baginda SAW bersabda: “Kamu akan menjumpaiku di atas Sirat sambil dikelilingi para Nabi. Aku akan menyeru: “Tuhan Kesejahteraan! Tuhan Kesejahteraan! Para malaikat akan menyambut: “Aamiin.”
Ketika itu juga, terdengar seruan dari arah Allah Taala lalu berfirman: “Nescaya akan mengikuti kata-katanya pada apa yang kamu sembah.”
Setiap umat akan berkumpul dengan sesuatu yang mereka sembah. Ketika itu juga, neraka Jahanam melebarkan tengkuknya lalu menangkap mereka sebagaimana burung mematuk kacang.
Apabila seruan dari tengah Arsy kedengaran, maka manusia yang menyembahNya datang beriring. Sebahagian daripada orang yang berdiri di situ berkata: “Kami adalah umat Muhammad SAW!”
Allah Taala berfirman kepada mereka: “Mengapa kamu tidak mengikuti orang yang kamu sembah?”
Mereka berkata: “Kami tidak menyembah melainkan Tuhan Kami. Dan, kami tidak menyembah selainNya.”
Mereka ditanya lagi: “Kami mengenali Tuhan kamu?”
Mereka menjawab: “Maha Suci diriNya! Tiada yang kami kenali selainNya.”
Apabila ahli neraka dimasukkan ke dalamnya untuk diazab, umat Muhammad SAW mendengar bunyi pukulan dan jeritan penghuni neraka. Lalu malaikat Zabaniah mencela mereka. Mereka berkata: “Marilah kita pergi meminta syafaat kepada Muhammad SAW!”
Manusia berpecah kepada tiga kumpulan.
1. Kumpulan orang tua yang menjerit-jerit.
2. Kumpulan pemuda.
3. Wanita yang bersendirian mengelilingi mimbar-mimbar.
Mimbar para Nabi didirikan di atas kawasan lapang ketika kiamat. Mereka semua berminat terhadap mimbar Nabi Muhammad SAW. Mimbar Nabi Muhammad SAW terletak berhampiran dengan tempat berlaku kiamat. Ia juga merupakan mimbar yang paling baik, besar dan cantik. Nabi adam as dan isterinya Hawa berada di bawah mimbar Nabi SAW.
Hawa melihat ke arah mereka lalu berkata: “Wahai Adam! Ramai dari zuriatmu dari umat Muhammad SAW serta cantik wajah mereka. Mereka menyeru: “Di mana Muhammad?”
Mereka berkata: “Kami adalah umat Muhammad SAW. Semua umat telah mengiringi apa yang mereka sembah. Hanya tinggal kami sahaja. Matahari di atas kepala kami. Ia telah membakar kami. Neraka pula, cahaya juga telah membakar kami. Timbangan semakin berat. Oleh itu tolonglah kami agar memohon kepada Allah Taala untuk menghisab kami dengan segera! Sama ada kami akan pergi ke syurga atau neraka.”
Nabi Adam as berkata: “Pergilah kamu dariku! Sesungguhnya aku sibuk dengan dosa-dosaku. Aku mendengar firman Allah Taala: Dan dosa Adam terhadap Tuhannya kerana lalai. Mereka pergi berjumpa nabi Nuh as yang telah berumur, umur yang panjang dan sangat sabar. Mereka menghampirinya. Apabila nabi Nuh as melihat mereka, dia berdiri.
Pengikut (umat Nabi Muhammad SAW) berkata: “Wahai datuk kami, Nuh! Tolonglah kami terhadap Tuhan kami agar Dia dapat memisahkan di antara kami dan mengutuskan kami dari ahli syurga ke syurga dan ahli neraka ke neraka.”
Nabi Nuh as berkata: “Sesungguhnya, aku sibuk dengan kesalahanku. Aku pernah mendoakan agar kaumku dimusnahkan. Aku malu dengan Tuhanku. Pergilah kamu berjumpa Ibrahim kekasih Allah Taala! Mintalah kepadanya agar menolong kamu!”
Nabi Ibrahim as berkata: “Sesungguhnya aku pernah berbohong di dalam usiaku sebanyak tiga pembohongan di dalam Islam. Aku takut dengan Tuhanku. Pergilah kamu berjumpa Musa as! Mintalah pertolongan darinya!”
Nabi Musa as berkata: “Aku sibuk dengan kesalahanku. Aku pernah membunuh seorang jiwa tanpa hak. Aku membunuhnya bukan dari kemahuanku sendiri. Aku dapati dia melampaui batas terhadap seorang lelaki Islam. Aku ingin memukulnya. Aku terperanjat kerana menyakitinya lalu menumbuk lelaki tersebut. Ia jatuh lalu mati. Aku takut terhadap tuntutan dosaku. Pergilah kamu berjumpa Isa as!”
Mereka pergi berjumpa nabi Isa a.s. Nabi Isa a.s. berkata: “Sesungguhnya Allah Taala telah melaknat orang-orang Kristian. Mereka telah mengambil aku, ibuku sebagai dua Tuhan selain Allah Taala. Hari ini, aku malu untuk bertanya kepadaNya mengenai ibuku Mariam.”
Mariam, Asiah, Khadijah dan Fatimah Az-Zahra’ sedang duduk. Ketika Mariam melihat umat Nabi Muhammad SAW dia berkata: “Ini umat Nabi Muhammad SAW. Mereka telah sesat dari Nabi mereka.”
Suara Mariam, telah didengari oleh Nabi Muhammad SAW Nabi Adam a.s. berkata kepada nabi Muhammad SAW. “Ini umatmu, wahai Muhammad! Mereka berkeliling mencarimu untuk meminta syafaat kepada Allah Taala.”
Nabi Muhammad SAW menjerit dari atas mimbar lalu bersabda: “Marilah kepadaku, wahai umatku! Wahai sesiapa yang beriman dan tidak melihatku. Aku tidak pernah lari dari kamu melainkan aku sentiasa memohon kepada Allah Taala untukmu!”
Umat Nabi Muhammad SAW berkumpul di sisinya.
Terdengar suara seruan: “Wahai Adam! Ke marilah kepada Tuhanmu!” Nabi Adam as berkata: “Wahai Muhammad! Tuhanku telah memanggilku. Moga-moga Dia akan meminta kepadaku.”
Nabi Adam as pergi menemui Allah Taala. Allah Taala berfirman kepadanya: “Wahai Adam! Bangunlah dan hantarkan anak-anakmu ke neraka!”
Nabi Adam as bertanya: “Berapa ramai untukku kirimkan?”
Allah Taala berfirman: Setiap seribu lelaki kamu hantarkan seorang ke syurga, 999 orang ke neraka.”
Allah Taala berfirman lagi: “Wahai Adam! Sekiranya Aku tidak melaknat orang yang berdusta dan Aku haramkan pembohongan, nescaya Aku akan mengasihi anakmu keseluruhannya. Akan, tetapi, Aku telah janjikan syurga bagi orang yang mentaatiKu Neraka pula bagi orang yang menderhakaiKu Aku tidak akan memungkiri janji. Wahai Adam! Berhentilah di sisi Mizan (timbangan). Sesiapa yang mempunyai berat pada kebaikannya daripada dosanya walaupun seberat biji sawi, bawalah dia untuk memasuki syurga tanpa perlu berunding denganKu! Sesungguhnya Aku telah menjadikan bagi mereka, satu kejahatan dengan satu dosa. Manakala satu kebaikan dengan sepuluh pahala agar memberitahu mereka bahawa, sesungguhnya Aku tidak akan memasukkan mereka ke dalam neraka melainkan setiap yang kembali akan dikembalikan dengan dosa bagi orang yang melampaui batas.”
Nabi Adam as berkata: “Tuhanku! Penguasaku! Engkau lebih utama bagi menghisab berbanding aku. Hamba itu adalah hambaMu dan Engkau Maha Mengetahui sesuatu yang ghaib!”

30 January 2011

PESAN IMAM SHAFIE PERIHAL SAHABAT SEJATI (a must read entry)

Aku terpegun dan terharu, lantas tanpa membuang masa, aku post entry ni, yang aku rasa sebagai sebuah nukilan mahakarya dari imam agung Islam, Imam Shafie, yang membicarakan tentang sahabat sejati...sila baca, sila baca sampai tamat, dan renungkan:::...

"Aku mencintai sahabatku dengan segenap jiwa ragaku, seakan-akan aku mencintai sanak saudaraku…" Sahabat yang baik adalah yang sering sejalan denganku dan yang menjaga nama baikku ketika aku hidup atau selepas aku mati. Aku selalu berharap mendapatkan sahabat sejati yang tidak luntur baik dalam keadaan suka atau duka. Jika itu aku dapatkan, aku berjanji akan selalu setia padanya. Kuhulurkan tangan kepada sahabatku untuk berkenalan kerana aku akan berasa senang. Semakin ramai aku peroleh sahabat, aku semakin percaya diri.

Mencari sahabat pada waktu susah. Belum pernah kutemukan di dunia ini seorang sahabat yang setia dalam duka. Pada hal hidupku sentiasa berputar-putar antara suka dan duka. Jika suka melanda, aku sering bertanya: “Siapakah yang sudi menjadi sahabatku?” Pada waktu aku senang, sudah biasa ramai yang akan iri hati, namun bila giliran aku susah mereka pun bertepuk tangan. Pasang surut persahabatan. Aku dapat bergaul secara bebas dengan orang lain ketika nasibku sedang baik. Namun, ketika musibah menimpaku, kudapatkan mereka tidak ubahnya roda zaman yang tidak mahu bersahabat dengan keadaan. 

Jika aku menjauhkan diri daripada mereka, mereka mencemuh dan jika aku sakit, tidak seorang pun yang menjengukku. Jika hidupku berlumur kebahagiaan, banyak orang iri hati, jika hidupku berselimut derita mereka bersorak sorai. Mengasingkan diri lebih baik daripada bergaul dengan orang jahat. Apabila tidak ke temu sahabat yang takwa, lebih baik aku hidup menyendiri daripada aku harus bergaul dengan orang jahat. Sukarnya mencari sahabat sejati. Tenanglah engkau dalam menghadapi perjalanan zaman ini. 

Bersikap seperti seorang paderi dalam menghadapi manusia. Cucilah kedua-dua tanganmu dari zaman itu dan daripada manusianya. Peliharalah cintamu terhadap mereka. Maka, kelak kamu akan memperoleh kebaikannya. Sepanjang usiaku yang semakin tua, belum pernah aku temukan di dunia ini sahabat yang sejati. Kutinggalkan orang bodoh kerana banyak kejelekannya dan kujanji orang mulia kerana kebaikannya sedikit. Sahabat sejati pada waktu susah. Kawan yang tidak dapat dimanfaatkan ketika susah lebih mendekati musuh daripada sebagai kawan. Tidak ada yang abadi dan tidak ada kawan yang sejati kecuali yang menolong ketika susah. Sepanjang hidup aku berjuang bersungguh-sungguh mencari sahabat sejati hingga pencarianku melenakanku. Kukunjungi seribu negara, namun tidak satu negara pun yang penduduknya berhati manusia. Rosaknya keperibadian seseorang.
.
Dalam diri manusia itu ada dua macam potensi penipuan dan rayuan. Dua hal itu seperti duri jika dipegang dan ibarat bunga jika dipandang. Apabila engkau memerlukan pertolongan mereka, bersikaplah bagai api yang dapat membakar duri itu. Menghormati orang lain. Barang siapa menghormati orang lain, tentulah dia akan dihormati. Begitu juga barang siapa menghina orang lain, tentulah dia akan dihinakan. Barang siapa berbuat baik kepada orang lain, baginya satu pahala. Begitu juga barang siapa berbuat jahat kepada orang lain, baginya seksa yang dahsyat. Menghadapi musuh. Ketika aku menjadi pemaaf dan tidak mempunyai rasa dengki, hatiku lega, jiwaku bebas daripada bara permusuhan. Ketika musuhku berada di hadapanku, aku sentiasa menghormatinya. Semua itu kulakukan agar aku dapat menjaga diriku daripada kejahatan. Aku nampakkan keramahan, kesopanan dan rasa persahabatanku kepada orang yang kubenci, seperti aku nampakkan hal itu kepada orang yang kucintai.

Tipu daya manusia. Mudah-mudahan anjing itu dapat bersahabat denganku kerana bagiku dunia ini sudah hampa daripada manusia. Sehina-hinanya anjing, ia masih dapat menunjukkan jalan untuk tuannya yang tersesat, tidak seperti manusia jahat yang selamanya tidak akan memberi petunjuk. Selamatkanlah dirimu, jaga lidahmu baik-baik, tentu kamu akan bahagia walaupun kamu terpaksa hidup sendiri. Tempat menggantungkan harapan. Apabila engkau menginginkan kemuliaan orang yang mulia, maka dekatilah orang yang sedang membangun rumah untuk Allah. Hanya orang yang berjiwa mulia yang dapat menjaga nama baik dirinya dan selalu menghormati tamunya, baik ketika hidup mahu pun setelah mati. Menjaga nama baik. Jika seseorang tidak dapat menjaga nama baiknya kecuali dalam keadaan terpaksa, maka tinggalkanlah dia dan jangan bersikap belas kasihan kepadanya.
.
Banyak orang lain yang dapat menjadi penggantinya. Berpisah dengannya bererti istirahat. Dalam hati masih ada kesabaran buat kekasih, meskipun memerlukan daya usaha yang keras. Tidak semua orang yang engkau cintai, mencintaimu dan sikap ramahmu kadang kala dibalas dengan sikap tidak sopan. Jika cinta suci tidak datang daripada tabiatnya, maka tidak ada gunanya cinta yang dibuat-buat. Tidak baik bersahabat dengan pengkhianat kerana dia akan mencampakkan cinta setelah dicintai. Dia akan memungkiri jalinan cinta yang telah terbentuk dan akan menampakkan hal yang dulunya menjadi rahsia.

29 January 2011

MANTIQ - Mari Mengenalinya

Sejarah Ringkas IImu Mantiq






Oleh DR. SYED ALI TAWFIK AL--ATTAS dalam Utusan Malaysia



Setiap manusia diberi keupayaan berfikir yang berkembang sejajar dengan pertumbuhan jasmani dan akali. Keupayaan berfikir ini mempunyai pelbagai bentuk bergantung kepada tahap-tahap pertumbuhan yang berlainan. Pemikiran seseorang dibentuk oleh persekitarannya dan ini dapat dilihat pada rupa bentuk dan kaedah tertentu. Dengan kesungguhan seseorang berupaya membina pemikirannya menjadi matang dan bernas sehingga mengatasi pemikiran terdahulu. Semua itu berlaku melalui pentaakulan dan penghujahan.

Bolehlah dikatakan bahawa kemunculan mantiq semula jadi, falsafah, dan pemikiran secara umumnya adalah bersekali dengan kewujudan manusia, yakni bermula dengan kelahirannya. Mantiq, yang ditakrifkan sebagai peraturan-peraturan berfikir yang betul, melalui kefahaman (inference) yang menghasilkan kesimpulan- kesimpulan yang benar dan sahih, menjadi panduan kepada manusia dalam soal berfikir dan gerak daya yang berkaitan dengannya.

Dalam ulasannya terhadap mantiq Timur, Ibn Sina mendapati bahawa ada kemungkinan besar mantiq berasal dari Timur, mendahului mantiq Aristotle. Beliau mengatakan:

“Ada kemungkinan bahawa kita juga mewarisi ilmu dari sumber-sumber lain dari Greek..., kita mengalu-alukan ilmu ini kerana ia diperoleh melalui kaedah-kaedah ilmiah. Orang-orang Greek menamakannya Logic. Tetapi ada kemungkinan bahawa orang-orang Timur menamakannya dengan nama lain.”
Secara jujur kaum Muslimin telah bekerja keras mendalami mantiq Aristotle dan menguasainya dengan cemerlang berbanding bidang-bidang lain. Semua ini mungkin disebabkan oleh hakikat bahawa karya mantiq beliau telah diterjemah berkali-kali.

Merujuk kepada karya-karya sejarawan, al-Hujayri percaya bahawa mantiq dan falsafah yang dikembangkan oleh Aristotle secara berhati-hati melalui kaedah penyusunan dan pengkategorian, pada hakikatnya telah diwarisi oleh orang-orang Parsi, yang kemudiannya menulisnya secara tersusun dan formal.
Kalau kita melihat kepada sejarah sains dan falsafah, kita dapati para filsuf Greek menekankan prinsip-prinsip mantiq sebelum kedatangan Aristotle dan menggunakan prinsip-prinsip mantiq sebelum kedatangan Aristotle lagi, dan menggunakan prinsip-prinsip mantiq dalam penyelesaian masalah. Sebagai contoh, Sarton menyatakan dalam History of Philosophy bahawa Zeno menyiapkan kerja-kerja Parmenides dari segi ruang lingkup, kaedah dan pembuktian. Beliau mengesahkan bahawa sekiranya seseorang mengambil kira perubahan dan sifat berubah alam ini sebagai suatu hakikat dia pasti akan menemui kesimpulan yang mantiqi. Mungkin disebabkan oleh pendekatannya yang tersusun dan teratur beliau mampu memandu orang-orang yang datang kemudian. Aristotle menamakannya pengasas mantiq dan hujah dialektikal.
Zeno adalah filsuf aliran pemikiran Aela. Beliau dilahirkan pada 486 SM. Beliau hidup selepas Parmenides, dua kurun sebelum Aristotle. Beliau meyakini dan mengajar bahawa mustahil dua hakikat yang saling bercanggah disatukan. Prinsip ini digunakan bagi membuktikan kesatuan alam. Beliau dianggap orang yang banyak berbicara tentang mantiq.

Segala bukti yang dikemukakan oleh Zeno digunakan bagi menyokong teori kesatuan alam dan bagi menolak kemungkinan pergerakan dan perubahan. Semua bukti-bukti ini disandarkan kepada undang-undang percanggahan.

Golongan sufasta‘iyyah pula berusaha mengkaji khitabah dan jadal. Minat mereka ini akhirnya membawa mereka mengajar nahu dan sintaks. Dengan berbuat demikian mereka mengesahkan Protagoras, sofist yang pertama sebagai pengasas ilmu nahu. Beliau mempunyai pengaruh besar ke atas para pelajarnya terutama dalam soal kepelbagaian dan bentuk-bentuk kata kerja. Pada masa sama dia adalah guru pertama mantiq amali (practical logic).

Aristotle adalah orang pertama memperkenalkan logic sebagai kaedah ilmiah yang tersendiri dan seterusnya menulis tentangnya pada kurun keempat sebelum Masihi. Dengan sebab itu dia dikenali sebagai pengasas mantiq dan guru pertama.

Pada kurun yang pertama Hijrah kaum Muslimin dikenali dengan suatu kaedah mantiq yang tersendiri. Ini sebelum mantiq Aristotle berkembang luas. Mantiq kaum Muslimin dapat dilihat dengan jelas dalam bidang teologi dan prinsip-prinsip perundangan Islam. Dalam kurun-kurun berikutnya kedua-dua bidang ini menjadi bidang keutamaan kaum Muslimin. Mereka mengenal pasti dan menyelesaikan permasalahan agama dengan pertolongan dua bidang ilmu ini, khususnya teologi. Mereka bergantung kepada mantiq bagi membuktikan hujah-hujah mereka, dan bagi memperolehi kesimpulan-kesimpulan yang sahih, tanpa perlu merujuk kepada mantiq Aristotle.

Bidang ilmu yang membicarakan dasar-dasar perundangan adalah hasil mantiq para fuqaha. Golongan Mutakallimun tidak menggunakan mantiq Aristotle hinggalah ke kurun ke-5 hijrah disebabkan kepercayaan yang tinggi terhadap kemampuan dan keyakinan yang tinggi terhadap kemampuan dan keyakinan yang diberikan oleh mantiq mereka sendiri pada ketika itu.

Ramai ilmuwan ulung telah menyumbang kepada bidang mantiq, antaranya al-Kindi, Abu Bishr Matta b. Yunus, al-Qarani, Yahya Ibn Adi al-Nasrani, al-Farabi, Ibn Sina, al-Ghazali, Bihminyar dan al-Lawkari. Walaupun Ibn Sina tidak menghuraikan sepenuhnya mantiq Aristotle dalam bukunya al-Shifa’, dan tidak menjelaskannya dengan sempurna, dia telah melakukannya dalam buku-buku yang lain, dan dia telah menyampaikannya dengan tepat.

Para filsuf Muslim pada umumnya menghabiskan banyak masa dan usaha bagi menjelaskan masalah-masalah berkaitan mantiq. Sesetengahnya, seperti al-Farabi, Ibn Sina dan Nasiruddin al-Tusi, adalah contoh-contoh yang cemerlang dalam soal ini. Setengah ilmuwan dan pemikir lain seperti Fakhr al-Din al-Razi, Abu al-Barakat al-Baghdadi, al-Qutb al-Razi dan Sadr al-Din al-Shirazi turut memberi sumbangan besar terhadap bidang ini.

Abu Nasr al-Farabi telah menulis suatu kajian yang luas dan lengkap tentang mantiq, walaupun pada hakikatnya beliau hanyalah menulis suatu ringkasan dalam pembicaraannya tentang Organon karya Aristotle. Dia percaya, dengan menggalakkan mantiq seseorang boleh memperbaiki kaedah yang digunakan; jika digunakan dengan betul, seseorang akan dipandu oleh akal ke jalan yang benar dan terpelihara dari kesilapan.

Dia juga percaya bahawa kaitan mantiq dan akan seumpama kaitan nahu dan bahasa, atau prinsip-prinsip ‘arud dengan syair. Beliau menekankan aspek-aspek amali mantiq, dan meletakkan akal di bawah prinsip-prinsip mantiq.
Al-Farabi berhujah bahawa penggunaan khitabah dan jadal, ataupun kejuruteraan dan arithmetik, tidak berupaya menggantikan peranan mantiq kerana mantiq bukanlah ibarat suatu perhiasan yang tidak bermakna. Sebaliknya kecenderungan semula jadi manusia menyebabkannya mustahil ditukar ganti.

Isi kandungan dan unsur-unsur mantiq adalah berkenaan dengan perkara-perkara yang mengkaji prinsip-prinsip yang sahih dalam gerak daya berfikir. Karya yang dipersembahkan oleh al-Farabi dalam bidang syair mempunyai dua aspek. Yang pertama menyentuh keupayaan beliau memahami secara menyeluruh dan tepat mantiq Aristotle yang sudah tersebar ke dunia Arab; yang kedua menyentuh kemampuannya mengasaskan lima seni, yakni lima bentuk hujah.

Pada kurun-kurun ke-5 dan ke-6 Hijrah, Ibn Sina berjaya menjelaskan mantiq Aristotle, meringkas dan mengkajinya, dan menghabiskan masa yang banyak dalam usaha memahaminya. Dalam pendahuluan bukunya beliau ada menyebut tentang mantiq Timur, dan mendakwa ia selaras dengan mantiq aliran Mashsha‘i. Beliau mengajarkan falsafah gaya baru yang cenderung ke arah aliran Aristotle dan Mashsha‘i, menggabungkan kedua- duanya dengan pendekatan kaedah berdasarkan falsafah Neo-Platonik.

Antara karya-karya terpenting sumbangan Ibn Sina ialah Kitab al-Najat yang kemudiannya diterjemah ke bahasa Parsi dengan judul Danishnamah Ala‘i. Ibn Sina menulis buku berkenaan bagi memujuk Sultan Dinasti Kakwayh, dan mempersembahkannya kepada baginda sebagai hadiah.

Sumbangan lain beliau tentang mantiq boleh dilihat dalam al-Nukat wa al-Fawa‘id. Risalah ini tidak diketahui umum sebagai karyanya. Walau bagaimanapun terdapat satu salinan karya ini, di Istanbul. Secara ringkasnya ia merupakan suatu risalah tentang mantiq, fizik dan metafizik. Persoalan-persoalan yang dibincangkan itu juga boleh dijumpai di dalam kitab al-Najat dan juga al-Isharat yang juga merupakan karangan beliau.

Di dalam kitab al-Shifa’, yang dianggap salah satu karya teragung dalam bidang falsafah, Ibn Sina telah menulis suatu bab khusus tentang mantiq. Tajuk bab itu ialah al-Burhandan ia telah diterbitkan secara berasingan di Kaherah pada tahun 1954 oleh Abdul Rahman Badawi.

Nasruddin al-Tusi juga dianggap ilmuwan besar ilmu mantiq, lebih daripada keahlian beliau dalam perundangan Islam, sains, teologi, falsafah, matematik dan astrologi.

Nasruddin al-Tusi menyatakan bahawa mantiq itu adalah merupakan suatu ilmu dan suatu alat. Tujuannya sama dengan sains yang menyelidiki makna-makna dan sifat. Ia juga seperti suatu alat disebabkan sifatnya seumpama kunci kepada tanggapan dan kefahaman terhadap ilmu-ilmu yang lain. Beliau percaya bahawa ilmu mantiq mampu menghalang akal fikiran daripada terjerumus ke dalam kesilapan dan kekeliruan.

Al-Tusi membahagikan semua ilmu kepada faham (konsep) dan hukum. Beliau berhujah bahawa kefahaman terhadap sesuatu faham itu boleh dicapai melalui takrif, dan manakala hukum pula diketahui melalui kias (analogi). Beliau percaya bahawa takrif dan kias adalah merupakan alat-alat, dengan menggunakannya seseorang akan memperolehi ilmu.

Kias, berdasarkan kepada takrif yang diberikan oleh Ibn Sina berbeza daripada takrif Aristotle. Ibn Sina membahagikan silogisme kepada dua: Konjunktif dan ekseptif. Beliau menyempurnakan takrifan itu dengan menggunakan gaya bahasanya yang tersendiri.

Taqiyyuddin Abu al-Abbas Ahmad bin Abdul Halim, juga dikenali sebagai Ibn Taymiyyah, dilahirkan di Harran pada tahun 661 Hijrah. Dalam bukunya, al-Raddu ala al-Matiqiyyin, beliau merujuk kepada suatu buku yang bertajuk al-Ara’ wa al-Diyanah yang ditulis oleh al-Hassan bin Musa al-Nawbakhti yang mendedahkan dan menjelaskan kesilapan-kesilapan Aristotle dan falsafahnya. Ada permulaan bukunya Ibn Taimiyyah membicarakan tentang istilah ilmu mantiq. Seperti al-Hadd, al-Qawl al- Sharih dan istilah-istilah lain. Beliau juga membicarakan tentang silogisme, yang dibahagikan kepada pembuktian, jadal, khitabah, syair dan safsatah. Di hujung perbahasan tentang silogisme beliau memberikan penjelasan yang begitu cemerlang tentang kias dan induksi.

Selepas Ibn Taymiyyah seorang lagi ilmuwan muslim yang terkenal telah muncul, Abdul Rahman bin Muhammad Khaldun al-Maghribi, atau lebih dikenali sebagai Ibn Khaldun. Beliau amat kritikal terhadap mantiq Aristotle dan merupakan seorang tokoh ilmu kemasyarakatan dalam dunia Islam.

Ibn Khaldun membicarakan tentang mantiq dalam beberapa bab bukunya al-Muqaddimah. Beliau melihat persoalan ini dari sudut sejarah dan menjelaskan bagaimana ia muncul dan disebarkan ke seluruh dunia Islam. Beliau mentakrifkan intipati ilmu logik secara tepat dan kemudiannya menjelaskan asas-asasnya dan perbezaan-perbezaan yang berkenaan. Beliau dengan keras mengkritik mantiq Aristotle dan mempertahankan kritikannya itu dalam karya-karya beliau.

Kemunculan Sadr al-Din al-Shirazi pada kurun ke-10 dan ke-11 menandakan kemuncak pencapaian akliah dalam tamadun Islam. Tatkala kelihatan tanda-tanda kejumudan dan keruntuhan, zaman ini membuka jalan kepada kaedah baru dalam ilmu-ilmu akal yang menggabungkan falsafah Greek, falsafah Mashsha‘i, falsafah Iluminasi dan ajaran-ajaran Islam.

Dalam muqaddimah bukunya al-Asfar, beliau membahagikan ilmu kepada dua: ilmu teori yang terdiri daripada mantiq, matematik, fizik dan metafizik; dan ilmu amali yang mengandungi akhlak pentadbiran (ekonomi) dan politik bernegara.

- DR. SYED ALI TAWFIK AL--ATTAS ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

retrieved from: jurnal akademik

p/s: I've read several article about mantiq and I found this one is the best explaination etc,  so I chose this one to post to my blog.