29 September 2012

ANDA ADA 60 SAAT


Pepatah Melayu ada menyebut, masa itu emas. Orang cina pula ada berkata, masa itu emas. Tapi emas tak dapat beli masa. Dalam Al-quran Allah berfirman yang bermaksud: “Demi masa sesungguhnya manusia dalam kerugian.“ Masa, mahupun tempoh atau waktu, atau mungkin juga berkait rapat dengan jam, minit dan saat, senarai ini adalah sangat dekat dengan kita. Setiap daripada kita telah diberi 24 jam sehari sama banyak untuk dimanfaatkan. Namun, mengapa ada yang mahu lebih dan ada pula yang berasa terlalu banyak masa yang diberikan?

Persoalan ini jika nak dikupas sampai bila-bila pun takkan tamat kerana di dunia ini ada pelbagai ragam manusia dengan penggunaan masa masing-masing. Ada yang terlalu sibuk dengan kerja sehingga seakan tidak cukup masa untuk menyelesaikan tugas-tugas dalam masa 24 jam. Ada pula yang terpaksa membuat pelbagai kerja dalam satu masa kerana jika tidak, kerjanya takkan sempat siap. Namun, ada juga yang merasakan masa terlalu panjang tempohnya kerana dia tidak tahu untuk berbuat apa lagi dengan masa yang berbaki.

Di sini saya bukan hendak bercakap mengenai pengurusan masa dan cara mengisi masa, tetapi saya lebih tertarik untuk membincangkan  satu perkara yang sedang bermain-main di fikiran saya kini tentang sebenarnya tempoh 24jam untuk setiap kita adalah berbeza. Maksud saya adalah, 24 jam yang saya lalui sebenarnya berbeza tempohnya dengan 24 jam yang anda sedang lalui meskipun dalam kiraan kita, 24 jam adalah 24 jam, tiada 24 jam satu, dua ataupun yang ketiga. Percayakah anda tentang perkara ini?

Saya tidak pernah terjumpa sebarang kajian mengenai perkara ini. Bahkan saya juga tidak bercadang untuk melakukan kajian tentangnya. Namun, tanpa kajian tidak semestinya apa yang saya katakan adalah  salah. Ia boleh jadi betul, dan boleh jadi juga kurang tepat. Tapi ia tak mungkin salah kerana saya yakin dan percaya terdapat pelbagai rahsia di dunia ini. Dengan keterbatasan ilmu dan pengetahuan kita, kita tidak boleh sewenang-wenang menidakkan sesuatu hal lebih-lebih lagi jika ia berkait dengan kuasa Allah.

Pemandangan indah di Pondok Tok Selehor, Tumpat.

Seperti yang kita tahu, segala di dunia ini adalah ciptaan Allah, termasuk masa. Masa itu makhluk. Allah telah tetapkan ketetapan bagi masa. Sebagai makhluk Allah, masa terletak sepenuhnya atas kuasa Allah. Maka Allah berhak melakukan apa sahaja atas kehendakNya. Maka adalah tidak mustahil masa boleh berubah-rubah sama ada dengan kita sedar atau tidak. Lihat sahaja contoh yang paling ketara iaitu perbezaan waktu siang dan malam bagi tempat-tempat di atas bumi ini. Waktu siang di Afrika berbeza dengan tempoh waktu siang di Malaysia. Jadi sangat boleh terjadi 24 jam yg kita rasakan berbeza dengan 24 jam orang lain rasakan meskipun jarum saat masih sama-sama bergerak.

Sebenarnya terlalu banyak bukti yang menyokong dakwaan saya tentang masa kita berbeza-beza. Kesimpulannya, gunakan lah masa yang tersedia untuk beribadah dan beramal solih. Kita boleh meminta agar dipanjangkan lagi masa bagi kita untuk beribadat dan bertaubat. Semoga kita sentiasa sedar dan tak leka tentang perjalanan masa kita kerana sesaat yang berlalu takkan dapat digantikan lagi. Ia akan pergi dan terus pergi.

Buah fikiran: NAMA PENA

No comments: