30 September 2012

IBU BAPA, ANAK-ANAK, DIDIKAN, TARBIYAH???

TOLONG AMBIK MASA BACA INI SEKEJAP...

Tarbiyah dan didikan ibu bapa sangat penting di dalam mencorak peribadi anak-anak. Apabila elok bahan-bahan dan ramuannya, elok juga alat-alatannya, maka eloklah hasilnya. Mana mungkin ibu bapa yang langsung tiada usaha mendidik, mengharapkan anak-anaknya jadi insan hebat. Hari-hari tunggu hidayah, tapi tak pernah cari hidayah, tak pernah buka ruang untuk menggapai hidayah.

Saya sedih dan kesal, ada ibu bapa yang sedari kecil anaknya sudah dibiasakan dengan skirt singkat dan hiasan-hiasan yang pelbagai. Sungguh, tidak berdosa budak itu, dia suci malah lebih suci dari kita hari ini. Namun di manakah didikan Islami yang hendak mencorakkan anak tersebut? Kenapa dibiarkan mereka berpakaian sebegitu, tidak takutkah kita sekiranya mereka sudah terbiasa dengan pakaian begitu yang akhirnya membawa ke alam dewasa? Nak bagi kebebasan, sampai bila? Sampai bila yang kita boleh tetapkan had sempadan untuk mereka bebas? Tidak takutkah kita sekiranya had sempadan itu, yang kita rasa betul, rupa-rupanya sudah terlambat, sedar-sedar anak kita sudah jadi seorang remaja yang terbiasa dengan corak hidup orang bukan Islam?

Saya tidak mendesak agar ibu bapa memakaikan tudung labuh kepada anak-anaknya, jubah, serban dan segalanya. Cuma saya meminta ibu bapa agar menanam roh Islam seawal mereka masih kecil. Biar mereka biasa dengan baju kurung yang sopan, baju melayu, kopiah kadang2, tudung kadang2. Biar didikan kita bercampur dengan roh yang kita semai. Barulah jadi Islamik anak kita itu.

Sedih melihat ibu bapa yang kadang2 sampai menangis mengadu nasib anak-anak mereka yang terjebak dalam perkara tidak baik. Tidak kurang juga yang garang, dibelasahnya anak-anak yang buat perkara yang tidak baik, malah ada anak-anak yang 'dirasakan' mungkin buat perkara tidak baik pun dibelasah teruk juga. Umur anak itu sudah mencecah belasan, sudah lama baligh, baru nak mula didik? baru nak bermula dari tapak 1? baru nak tunjuk mana A? Kemudian naik angin, kecewa, bila anak tidak berubah.

Sabar... Rancang dan lakukanlah proses didikan anak-anak seawal usia mereka. Biar roh mereka dan roh Islam itu bersatu. Biar hati mereka hidup, biar jiwa mereka bersih. Jika asasnya sudah mantap, maka tidak susah nak menerapkan syariah dan ibadah di dalam akal dan hati mereka semasa mereka mencapai usia baligh nanti. Jangan rasa yang satu tamparan atau satu tengkingan itu sudah cukup untuk membentuk peribadi unggul seorang anak. Belum.

Sabar mendidik. Dakwah dan tarbiyah itu satu proses yang berterusan dan memakan masa. Tanam kefahaman, tanam iman di dalam hati anak-anak. Biar ibu bapa dan anak-anak, menjadi Muslim-muslim yang hebat. Barulah terbentuk sebuah keluarga Muslim yang hebat. Baru unggul peribadi kita.

Jangan pula ibu bapa memaksa anak-anak jadi soleh sedangkan si ibu bapa solat pun tidak cukup. Jangan pula ibu bapa marahkan anak-anak yang tidak faham agama kalau mereka tidak berusaha memahamkan anak-anak tentang agama sedari awal usia mereka. Sama-samalah berusaha jadi Muslim unggul.

Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.

Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Wallahua'lam.

SYAFIQ FADELI

1 comment:

Anonymous said...

TERBAEK!!!