17 September 2012

TIPS INSAN CEMERLANG, 3 Tips Menuntut Ilmu - (Coretan Guru Bertugas)

Assalamualaikum

Sebagai seorang guru, saya juga diberikan beberapa tugas lain yang diluar norma proses pengajaran semata-mata. Antaranya adalah tugas yang baru saya dapat tadi iaitu 'guru bertugas mingguan'. Tugas-tugas guru bertugas ini tidak perlulah saya terangkan kerana saya rasa para pembaca juga pernah mengenali mana-mana guru yang pernah menjadi guru bertugas, dan begitulah tugas saya.

Cuma tujuan entri kali ini adalah untuk berkongsi, beberapa perkara yang saya akan sebutkan dalam 'tazkirah motivasi' saya setiap pagi semasa perhimpunan. Saya akan ambil masa lebih kurang 5 minit untuk bercakap dan memberikan input berguna buat renungan dan amalan para pelajar. Disebabkan saya hanya mempunyai 3 hari sahaja lagi untuk digunakan di pentas perhimpunan, maka saya sediakan 3 input untuk disampaikan kepada para pelajar, iaitu '3 Tips Menuntut Ilmu'.

Hari 1 - NIAT YANG BETUL
Setiap penuntut ilmu mesti ada niat yang betul. Awal pagi usai bangun dari tidur, terus pasangkan niat untuk mandi, pakai uniform sekolah, makan etc, semata-mata sebagai persediaan untuk melangkah kaki ke sekolah untuk menuntut ilmu kerana Allah dan untuk menjadikan diri jauh lebih pandai dari hari semalam. Mesti ada niat sebegitu setiap pagi! Ramai antara kita yang pergi balik ke sekolah setiap hari, setiap tahun selama beberapa tahun, tanpa ada niat langsung. Perkara ini terjadi kerana kita sudah menjadikan pergi ke sekolah itu satu rutin, 'setiap hari aku pergi kerana hari-hari sebelum ini pun aku pergi'. 'Setiap hari aku pergi sekolah, sebab kawan-kawan aku semuanya pergi sekolah'. Akibatnya, persediaan kita untuk belajar adalah berada di tahap kosong. Semasa buka mata dari tidur, terus niat aku hendak ke sekolah sebentar lagi 'untuk mendapatkan keredhaan Allah dan untuk menjadi lebih pandai dari semalam'. Apabila mandi, terus niatkan di hati tujuan mandi, 'untuk menyegarkan badan dan bersedia untuk menuntut ilmu di sekolah nanti'. Begitulah juga halya dengan semasa sarapan, semasa berjalan ke sekolah, semasa masuk kelas dan sebagainya. Kita kena tahu apa kita buat, dan kenapa kita buat sesuatu perkara itu. Rasulullah bersabda, 'Sesungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat'.

Hari 2 - OBJEKTIF DAN MATLAMAT
Setiap orang yang menuntut ilmu mesti ada objektif mereka menuntut ilmu. Kita mesti jelas dan faham objektif diri kita masing-masing. Kita mesti pasangkan niat 'untuk jadi lebih pandai dari semalam' sebagai objektif mengapa kita handak belajar hari ini. Dengan harapan, selepas habis sesi persekolahan hari ini, kita menjadi seorang insan yan lebih pandai dan cemerlang dari semalam. Kemudian, perlu juga mesti ada matlamatnya. Kita harus melihat, ke mana halatuju pembelajaran kita? Sejauh mana kita mahu faham? Apa cita-cita kita? Berapa gaji kita mahu? Adakah rakan-rakan, corak belajar, kerajinan, nota-nota dsb, yang kita ada sekarang ini berada di landasan yang tepat untuk membawa kita ke arah matlamat kita itu? Kalau ya, tetapkan landasan itu, kukuhkan, jangan ubah-ubah. Biar grafnya terus menaik, lurus dan terus menuju impian kita. Kalau ianya tidak berada di landasan yang tepat, maka jangan tunggu, ubah sekarang! Ubah cara hidup kita, ubah diri kita, supaya jalan yang kita lalui sekarang selari dengan impian kita. Jangan masuk jalan lain, nanti tak sampai destinasi.

Hari 3 - USAHA CARA KITA, DAN TAWAKKAL
Selepas kita ada niat yang jelas, objektif dan matlamat yang jelas, kita dikategorikan sebagai orang yang ada kesedaran dan kefahaman. Maknanya kita sedar apa kita mahu, kita sedar kemampuan kita, dan kita sedar senang atau susah nak capai apa yang kita impikan itu. Apa bila kita sudah jadi orang yang 'faham dan sedar' ini, barulah kita boleh melangkah ke langkah ketiga, iaitu berusaha dengan cara sendiri. Usah peduli kata orang tentang bagaimana harus kita belajar begitu dan begini, kita pilih cara, tempat, masa, dengan siapa, dan segala detil yang paling sempurna mustajab untuk dipraktikkan kepada diri kita sendiri yang mana dengan melakukannya, nescaya kita boleh belajar dengan baik. Kalau kita suka buat latih tubi, buatlah latih tubi. Kalau suka salin nota ringkas, salinlah. Kalau suka 'study group', pergilah. Kalau suka belajar di tepi kolam, carilah kolam mana yang kita maksudkan dan belajarlah di sana. Persediaan diri dan keselesaan diri amat penting dalam belajar. Belajarlah dengan niat, objektif dan matlamat yang sangat jelas, supaya ianya menjadi pelonjak kita untuk tidak berhenti berusaha, dan akhirnya menggapai satu persatu impian kita. Amaran, 'usaha cara sendiri' ini hanya boleh dilakukan oleh pelajar-pelajar yang 'faham dan sedar' sahaja. Bagi pelajar yang belum 'faham dan sedar', bantuan dan desakan oleh guru, ibu bapa dan rakan-rakan adalah masih diperlukan. Kemudian, selepas habis bersedia, menyiapkan diri dan berusaha, serahkan segalanya kepada Allah, tawakkallah. Berdoa dan mohon kepada Allah supaya apa yang kita hendak itu, kita capai. Jadilah spesifik dalam berdoa, ambil masa, jangan gopoh, berdoalah kepada Allah, minta betul-betul apa sebenarnya yang kita mahu.

InshaAllah, jadilah pelajar yang bersedia dan bermatlamat. Jadikan setiap amalan itu ibadah, dan teruslah menjadikan diri kita lebih baik dari hari ke hari. Jangan berhenti mencuba, kerana Allah tidak pernah berhenti mengabulkan hajat hambaNya, Allah tidak pernah berhenti merahmati hambaNya. 

Wallahua'lam.

Syafiq Fadeli
17 / 9 / 2012



Bersiar-siar mencari inspirasi di Taman Tengku Anis, Kota Bharu - With Wife

1 comment:

Anonymous said...

mantap! tiap ayat wat saya terpikir 2 3 4 5 6 kali dan sangat rasa nak bagi ceramah ttg perkara ni. nak anak2 di sekolah fhm, sedar n amal hal ni seawal mungkin. biar lebih ramai yg bjaya dengan cara yg simple tp baguuuusss ni. hehe. cayalah =) tq