26 June 2012

Siapa Akan Kahwin Dengan Kamu? (Untuk Wanita)


Adalah sangat lucu apabila menonton dan membaca apa sahaja yang keluar dari mulut manusia-manusia yang bercakap tentang agama, namun mereka sendiri hidup dalam ‘memperlekehkan agama’. Jika mereka tidak berbicara tentang agama kita cuma ‘beranggapan’ mereka tidak faham agama. Namun setelah mereka mengeluarkan fatwa dan pendapat, kita serta merta ‘yakin’ yang mereka sememangnya tidak faham agama.

Di mana kejadian seperti ini berlaku? Di mana-mana sahaja. Namun apa yang menjadi penyakit dalam masyarakat ini ialah apabila manusia-manusia ini diberi keistimewaan mikrofon untuk melantangkan suara sehingga didengari seisi negara. Siapa pandai-pandai bagi pembesar suara kepada mereka ini? Untuk apa diberi? Jawapannya senang. Mereka diberi mikrofon ini kerana ada orang yang akan mendengar dengan setia setiap kenyataan dari mereka. Mungkin mereka penyokong, mungkin mereka peminat.

Antara banyak-banyak kenyataan media yang dikeluarkan oleh manusia-manusia ini, ada satu kenyataan media yang mempunyai nilai humor yang sangat tinggi dan mempunyai nilai satera yang cukup signifikan, bagi saya. Ianya sebuah soalan dan sebuah jawapan yang menjadi ‘trademark’ seluruh umat Islam, namun kehumoran itu terletak bukan kepada soalan dan jawapan itu, tapi terletak kepada penyoal dan penjawab itu.

“Bila nak kahwin? Apakah ciri-ciri lelaki yang diingini untuk dijadikan suami?”

“InshaAllah bila sampai seru nanti. Semestinya saya inginkan lelaki yang soleh dan beriman yang mampu memimpin saya ke arah yang lebih baik”

Tipikal.


Humor apabila wanita separuh bogel memberi jawapan sebegitu. Dengan pakaian ketat dan menampakkan separuh buah dada, kain terbelah hingga ke pangkal peha, dengan cukup bersahaja menjawab sebegitu. Hidupnya yang hanya berkad pengenalankan Islam semata-mata, berpakaian yang jelas terbuka auratnya tanpa syak. Ke sini ke sana berpimpin tangan dengan bakal ‘suami soleh’nya yang masih belum mahram. Mulut yang bertutur tanpa tapis. Jelas, hidupnya dalam memperlekahkan agama Islam yang mulia. Namun dalam hal rumah tangga, mahukan suami yang soleh?

Tidak salah untuk bercita-cita memiliki lelaki soleh. Namun lupakah kamu dengan firman Allah yang maha mulia? Yang membawa maksud, “Untuk lelaki yang soleh itu seorang perempuan yang solehah, dan untuk perempuan yang solehah itu seorang lelaki yang soleh”. Macam mana kamu boleh bermimpi untuk memiliki seorang lelaki soleh kalau kamu tidak solehah?

“Dia akan bimbing saya selepas kami berumah tangga nanti”


Satu kenyataan yang semua perlu faham. Sejak saat pertama akad nikah selesai dan mereka sah bergelar suami isteri, segala dosa isteri yang diredhai suami, akan ditanggung dan dipersoalkan kepada si suami di akhirat nanti. Tidak tutup rambut bila keluar bekerja, si isteri akan jawab Allah, si suami pun akan jawab Allah nanti.

Para lelaki soleh memahami ini, jadi siapa yang ‘sudi’ sangat nak tanggung dosa kamu? Adalah lebih baik para lelaki ini mencari seorang wanita solehah yang sudah mulia akhlaknya, maka ringanlah bebannya. Kuranglah risaunya. Nikah saja, terus mendapat seorang bidadari syurga di dalam rumah. Semestinya lelaki soleh impikan wanita sebegini sebagai isteri dan ibu kepada anak-anaknya, yang mampu menggantikan tugas mendidik anak-anak dengan agama sewaktu si suami keluar mencari nafkah.

Habis, ‘lelaki soleh’ mana lagi yang tinggal untuk kamu miliki?

Di sini saya sertakan beberapa contoh perkara yang seorang suami akan dipersoalkan di hadapan Allah, beberapa contoh tipikal masyarakat melayu khususnya:

1. Tidak tutup aurat
Apabila si isteri keluar rumah dan berada di khalayak ramai dalam keadaan tidak tutup aurat, selangkah dia berjalan keluar, sebuah azab akan disediakan untuk suaminya. Bayangkan berapa langkah seorang wanita itu berjalan di luar rumah. Setiap mata lelaki ajnabi yang memandang si isteri, maka dosa melimpah ke atas kedua mereka yang memandang dan yang dipandang. Tapi jangan lupa, si suami yang sedang berada di masjid pun akan berdosa sama akibat redha dengan keingkaran isterinya terhadap tuntutan agama.

2. Tabarruj
Isteri sebegini, secara kasarnya, menutup auratnya. Ada tudung menutup rambut, ada jubah, ada hand-socks, ada stoking lengkap. Tapi mereka berlebih-lebih dalam berhias. Dengan dandanan muka yang tebal dan penuh warna warni, yang pastinya untuk dilihat cantik oleh orang lain di luar rumah. Ditambah dengan tudung bergulung-gulung, juga semestinya untuk dilihat cantik. Lagi, dengan jubah moden berwarna terang yang menarik-narik mata lelaki untuk memandang dengan minat. Dicalit pula minyak wangi yang kuat baunya untuk dihidu wangi oleh para lelaki dan wanita di luar sana. Dilengkapkan dengan kasut bertumit yang berbunyi apabila berjalan, untuk membuat ‘pengumuman’ tentang kehadiran beliau di sesuatu kawasan. Antara alasan paling popular semestinya, ‘untuk keyakinan diri saya’. Buat apa kamu yakin pada diri sedangkan di waktu yang sama Allah murka terhadap kamu, keyakinan itu macam sampah sahaja, tiada gunanya lagi.

3. Mulut tempayan
Isteri sebegini punya ramai kawan. Tidak kira lelaki perempuan. Takkala bertemu ada sahaja cerita itu dan ini untuk diceritakan. Setibanya di ‘tajuk’ masalah dalam rumah, dengan senang keluarlah segala cerita aib rumah tangga. Suamiku begini, suamiku begitu, suamiku buat ini, suamiku buat itu. Semuanya didengar dengan penuh minat oleh sahabat-sahabat seperjuangan yang tidak habis-habis berkata ‘ceritalah, tidak apa, untuk pedoman kita semua juga, supaya lain kali tidak berlaku kepada kita semua’. Hebatnya sahabat-sahabat ini, mereka sangat berani mengeluarkan fatwa baru, walaupun bercanggah dengan kata-kata Allah dan Rasul. Adalah haram untuk menceritakan keaiban diri sendiri, apa lagi keaiban orang lain, lebih-lebih lagi keaiban suami. Bagi mereka pula, tidak apa, kita-kita sahaja.

Ingatlah para wanita. Jika kamu ikhlas mahukan seorang suami yang soleh, jadilah seorang perempuan solehah. InshaAllah suami yang dijodohkan kepada kamu itu sungguh alim melangkaui impian kamu. Bukan sekadar memimpinmu, malah mendukungmu ke syurga.

Bagi wanita yang sudah bergelar isteri, jadilah isteri yang sayangkan suami. Jika kamu lihat suami kamu demam semata-mata berhujan untuk mengangkat kain yang kamu jemur di jemuran, pun kamu sudah sedih, malah menangis-nangis. Itu baru demam. Sanggupkah kamu melihat suamimu diazab Allah di neraka semata-mata kamu yang membuat maksiat kepada Allah? Jika tidak sayangkan diri sekalipun, sayangilah suami kamu. Cintailah dia dengan cinta yang sebenar-benar cinta, sehingga rasa mahu melihatnya bahagia dan gembira di dunia dan akhirat.

Sabda Rasulullah, “Dunia penuh dengan perhiasan, dan perhiasan paling cantik ialah wanita solehah”

Wallahua’lam.

SYAFIQ FADELI


3 comments:

Nadiaz Namikaze said...

lama tak ke sini. nice entry, peringatan utk semua.

Syafiq Fadeli said...

datang la sini lagi hehe...thanks sis.

munirah said...

ummm....tul 2