13 June 2012

K-Pop di Himpunan Sejuta Belia, Putrajaya.


Assalamualaikum

Dengan sekali pandang, semestinya Malaysia merupakan sebuah negara harmoni yang didiami pelbagai bangsa dan budaya. Kesemuanya tampak senyum dan gembira, terutamanya di dalam video-video pelancongan berkenaan Malaysia. Zahirnya rakyat Malaysia ini bagaikan rakyat yang tiada penyakit, hidup aman segar bugar dalam limpahan rezeki melimpah ruah saban hari, seolah-olah tiada lagi perkataan ‘kesusahan’ dalam Kamus Dewan, telah lama perkataan itu dipindah ke Kamus Sanskrit.

Namun apa yang zahir, tidak menggambarkan yang batin. Ada barah dan tumor yang bersarang dalam minda rakyat ini sudah jelas parahnya. Ada penawar-penawar yang timbul namun lekas dicantas virus-virus perosak yang tidak henti-henti menyerang. Manakan dapat diubati, virus ini kebal dari apa ubat sekalipun. Lesennya besar.

Terpentan, terkejut. Kalimah yang terpacul di hati saya apabila melihat sebuah perhimpunan yang menghimpunkan beliawan beliawanis yang diselitkan unsur maksiat yang amat terkutuk. Kalau diselitkan sehelai kertas, mungkin orang ramai pun tidak perasan. Tapi kalau diselit seguni beras di celah-celah pinggan di rak dapur, orang yang tak mencari pun akan nampak.

Himpunan Sejuta Belia, sebuah nama yang menggetarkan jiwa saya pada asalnya. Ya lah, sebuah perhimpunan pemuda pemudi yang harapannya untuk bernaung di bawah panji Allah di padang Mahsyar nanti adalah sangat tinggi sekali. Mereka inilah golongan yang disebut secara khusus dalam nas sebagai manusia-manusia yang akan terselamat di Mahsyar. Berada dalam 7 golongan terselamat.

Aksi artis K-pop di Putrajaya

Mungkin ada antara mereka yang hadir untuk memeriahkan majlis disamping untuk beriadah bersama keluarga. Tidak ada salahnya. Namun kecewa saya membuak apabila melihat konsert-konsert artis luar yang sangat menjolok mata. Kalau dulu pernah kita bahaskan apa hukum lagu nasyid yang melalaikan, hatta lagu nasyid pun kita tapis. Namun kali ini seolah-olah semua fatwa-fatwa dan hasil perbincangan para ulama serta ilmuwan Islam tanah merdeka ini dicarik dan dirogol rakus oleh insan-insan yang sewenang-wenangnya mempersembahkan penyanyi dan penari seksi separuh bogel di pentas.

Ke mana kita nak tuju sebenarnya?

Allah berfirman yang maksudnya:
“Kamu semua adalah umat yang terbaik yang dilahirkan dari kalangan manusia, iaitu kamu yang menyeru kebaikan, dan kamu yang mencegah kemungkaran, dan kamu yang beriman kepada Allah”

Nyatanya, majlis maksiat sebegini bukanlah satu method menyeru ke arah kebaikan. Jelas juga, ia bukanlah satu gerakan mencegah kemungkaran. Malah mungkin, lemah iman orang-orang yang tergamak menjemput, membayar dan mempersembahkan dosa percuma yang galak melenggok mengikat erat mata-mata yang memandang penuh nafsu.

Maka sehampir manakah kita dengan status ‘umat terbaik’ yang Allah anugerahkan? Yang pastinya, ‘umat terbaik’ inilah sebenarnya yang layak digelar rakyat harmoni, rakyat yang sihat rohani dan jasmaninya, rakyat yang dilindungi anti-virus berjenama ‘khalifah’. Kehidupan umat terbaik inilah yang menjadi panduan manusia sejagat, menjadi penanda aras bagi seluruh tamadun, sesuai dengan fungsi Islam itu sendiri, ‘sebagai rahmat ke seluruh alam’.

Persoalannya, adakah kita sudah di taraf umat terbaik? Sebuah soalan berat sebelah yang saya lemparkan dalam nada metafora. Sebagai sebuah sindirin tanda kecaman saya terhadap pihak yang biadab merosakkan rakyat negara ini. Di waktu rakyat ini mula berlumba-lumba menuntut ilmu, menadah telinga mendengar curahan ilmu agama dari ustaz-ustaz dan alim ulama negara ini, di waktu kita hampir tersenyum lebar menyaksikan perubahan ummat Melayu ini hampir benar ke pintu syurga, mereka datang menyentap dan mengheret kita kembali ke gaung neraka jahannam. Usaha yang menuntut peluh keringat pejuang agama selama bertahun-tahun, dinajisi dalam satu malam. Insan biadab!

Sabda nabi:
“Sebaik-baik manusia ialah manusia yang bermanfaat kepada manusia lain”

Bermanfaatkah apa yang kita buat?

Adakah kita manusia terbaik itu?

Benci sangatkah melihat ummat ini menuju Allah?


Salam perjuangan,
SYAFIQ FADELI


Prof Dr Asri Zainal Abidin
Ustaz Kazim Elias
Ustaz Don
Ustaz Azhar Idrus
Suasana jemaah di kuliah Ustaz Azhar Idrus


No comments: