22 August 2012

“AKU BENCI KAMU KERANA KAMU PAKAI BAJU WARNA TERSEBUT” – KETAKSUBAN YANG MENONJOLKAN KEBODOHAN DALAM KEBANGGAAN.


Kejadian yang berlaku setiap hari seringkali membuatkan saya ketawa kecil kerana tidak tahan dengan unsur jenaka yang tersurat di dalam insiden-insiden yang sudah menjadi ‘adat budaya’ orang Malaysia. Seolah-olah setiap rakyat Malaysia mengamalkan, paling tidak mengambil tahu, perihal satu perkara ini yang menjadi amat sensitif bila disebut, diperdengarkan dan diperlihatkan. Ianya ialah POLITIK.

Setiap negara dan bangsa ada stereotype mereka masing-masing. Jika kita sebut saja orang Cina di negara Cina, terus tergambar akan ilmu, kungfu dan disiplin mereka. Sebut saja orang Arab, tergambarlah jubah, janggut dan perniagaan. Sebut Yahudi, kepandaian dan kejahatan. Sebut Indonesia, sinetron. Sebut Korea, K-Pop. Dan apabila sebut Malaysia, orang Melayu, terus tergambar kegilaan masyarakat ini untuk mengaitkan segala perkara dengan politik, walaupun perkara yang langsung tiada kaitan, tetap tidak terlepas dari dikaitkan dengan politik. Seolah-olah semua pengait-pengait tadi faham benar kisah politik. Walhal kalau ditanya, buku politik apa dan karangan politik siapa yang mereka sudah baca? Jawapannya mungkin tiada, judul buku pun tidak tahu barangkali.

TAKSUB

Ramai masyarakat Malaysia ini yang amat taksub dengan parti politik (bukan dengan politik) pilihan masing-masing. Ada yang memperjuangkan bangsa, ada yang memperjuangkan agama, ada juga yang memperjuangkan hak. Masing-masing ada agenda perjuangan masing-masing dan nyatanya kesemuanya berjaya meraih sokongan rakyat yang mahu apa yang parti tersebut perjuangkan.

Tidak salah memiliki parti politik pilihan masing-masing, malah kita perlu memilikinya untuk menentukan masa depan negara. Namun harus difahami perbezaan antara parti politik dan politik. Politik ialah satu ilmu, manakala segala informasi, visi dan misi parti politik masing-masing itu adalah maklumat tentang apa yang mahu dicapai parti politik tersebut. Tidak semestinya ianya satu ilmu.

Akibatnya, apabila ramainya rakyat yang tidak berfikiran terbuka dan hanya memandang dengan sebelah mata sahaja, penilaian berat sebelah semestinya berlaku. Disuruh belajar ilmu politik, tidak mahu. Disuruh dengar ceramah dan kenyataan, disuruh diadakan dialog sihat, tidak mahu hadir, tidak mahu dengar. Hasilnya, tidak kiralah apa hujah dikeluarkan ahli politik sekalipun, apa program diadakan sekalipun, kelompok manusia ini tidak endah dan akan tetap pangkah parti politik mereka yang sudah mencapai tahap maksum di dalam hati mereka. Berlakulah gejala taksub. Ya, ketaksuban ialah satu gejala.

Natijahnya, semua orang yang berpandangan berbeza dalam memilih parti politik menjadi musuhnya.  Bukan manusia sahaja, malah motosikal, kereta, baju, hatta langit pun menjadi mangsa mereka. Ibu bapa berpesan kepada anak-anak darjah 1 supaya jangan masuk ‘Rumah Hijau’ semasa hari sukan sekolah nanti, sebab hijau itu PAS. Ibu bapa lain pula melarang anaknya masuk ‘Rumah Biru’, sebab itu BN. Kanak-kanak yang menggunakan basikal ‘Fixie’ kuning juga dicemuh dan diancam, sebab katanya mempromosikan BERSIH 3.0. Aduh, budak-budak itu apa pun tidak tahu pasal politik. Basikal kuning itu kebetulan sahaja sebab basikal warna itu sahaja yang mampu dibelinya dengan duit raya. Terus dicop sebagai ‘Jawatankuasa Penggerak BERSIH 3.0’ secara otomatik. Itu budak-budak, apa lagi orang dewasa berkereta hijau, berbaju kuning, bertopi biru, bertelefon tangan merah dan sebagainya. Lagilah teruk dijeling tajam.

TIDAK SEMUA MACAM KAMU

Mesti sentiasa ingat, semua manusia ini tidak sama. Adik-beradik kembar pun ada perbezaan. Janganlah disebabkan kita sensitif dengan sesuatu warna, kita anggap semua orang pun sensitif macam kita. Kita orang biru, kita pantang tengok hijau, janganlah kita overgeneralize semua orang biru akan pantang tengok hijau macam kita, dan cop semua orang hijau pantang tengok biru. Itu melampau, mengganggu hidup orang lain, malah menonjolkan kebodohan diri sendiri di khalayak umum.

Sabda Rasulullah SAW,
”Sebaik-baik perkara ialah yang di tengah-tengah (sederhana)”

Menjadi taksub langsung tiada kaitan dengan kesederhanaan. Malah perkataan ‘taksub’ itu sendiri dicipta bertentangan dengan makna sederhana. Mana mungkin taksub itu menjadi sebaik-baik perkara.

Saya tidak membantah perhimpunan dan demonstrasi yang dibuat kadang-kadang untuk perjuangan masing-masing, apa lagi yang sudah mendapat kebenaran pihak berkuasa. Memang ianya satu strategi dan kempen untuk meraih undi dan kefahaman masyarakat. Itu langsung tidak taksub. Tapi kalaulah setiap hari perhimpunan, setiap hari nak sekat jalan, setiap hari orang takut pakai baju berwarna tertentu kerana takut golongan ini bertindak kasar, itu jelas merupakan taksub.

BUKA MINDA

Kita mesti buka minda kita, biar rasional, biar luas. Islam mengajar kita agar tidak menerima bulat-bulat sebarang berita kecualilah daripada sumber yang sahih. Ingin saya tekankan di sini, sumber sahih ada banyak, tetapi sumber ‘paling sahih’ ialah Al-Quran dan Al-Hadis. Selain 2 sumber ini, kita berhak untuk mempersoalkan dan menilai dan membuat pilihan. Tiada paksaan dalam membuat pilihan, yang ada hanyalah minda yang terpaksa bersetuju lantaran sempitnya maklumat tentang pilihan-pilihan alternatif. Dah itu sahaja yang dia tahu, macam mana dia nak buat pilihan, pilih yang dia tahu sajalah. Sebab itu kita kena buka minda, terima banyak maklumat dan pendapat, barulah sedap membuat pilihan bijak. Kalau tidak, bijak tak bijak pun, yang itulah juga dia akan pilih. Sebab yang itu saja dia tahu.

Parti A kutuk Parti B seolah-olah Parti B ini dipimpin oleh orang-orang bodoh yang langsung tiada akal. Segala projek dan perancangan mereka dihentam awal-awal lagi sebelum difahami dengan teliti, seolah-olah perancangan-perancangan itu tidak dimesyuaratkan, seolah-olah mereka pilih projek dari petunjuk jarum yang berhenti di nama projek dalam putaran roda ‘Roda Impian’. Berhenti di mana, itulah projek kita!

Kita kena faham, kalau kita bijak, orang lain pun bijak. Masing-masing ada akal. Mungkin kita bijak sikit daripada mereka, atau mereka bijak sedikit daripada kita, tapi tidak bermakna mereka bodoh dan dungu. Maka janganlah membabi buta menghentam terus. Bukalah minda untuk menerima hujah dan penjelasan dari semua pihak. Disamping ia menjadikan kita makin bertambah ilmu, dihormati, ia juga memandu kita untuk membuat pilihan dan mengeluarkan kenyataan yang sangat bijak. Kenyataan yang tidak dipandang sebelah mata.

Pakailah baju biru, hijau, kuning, apa warna sahaja. Ianya langsung tidak menjejaskan kefahaman dan ilmu kita. Ianya hanya mampu menarik orang-orang berfikiran sempit dan kurang ilmu untuk menjeling benci dan memekik melolong, sahaja. Sekurang-kurangnya apabila mereka menjeling dan memekik, kita dengan mudah dapat mengecam siapa pintar, siapa sebaliknya.

Jangan taksub, buka minda.

SYAFIQ FADELI

Mungkin inilah baju yang terpaksa dipakai oleh oleh rakyat Malaysia suatu hari nanti untuk mengelak dari menjadi mangsa golongan taksub

2 comments:

Anonymous said...

saya suka entri ini. saya setuju dengan pendapat dan pandangan encik blogger. kadang-kadang saya fikir, ramai orang yang terlalu peduli pasal warna. pengaruh serta perspektif cetek sesetengah orang tentang warna dan erti di sebalik warna telah mengganggu fungsi warna itu sendiri. sedangkan warna sebagai warna. simbol pada warna hanyalah berdasarkan tafsiran dan kesepakatan manusia, namun tak bermakna fitrah warna itu terus hilang. apa warna sekali pun, fitrahnya ia hanyalah warna-warna yang berbeza. bergantung kepada kesannya kepada pengguna. jika warna merah dilihat bakal mendatangkan keburukan, pilihlah warna putih yang nampak lebih universal. kita tukar warna bukan sebab warna itu membawa makna satu sahaja yang kita tak boleh terlibat dengan makna tersebut. susah lah kalau begitu sempit. di mana pula ilmu tentang memilih ikut kesesuaian kita? hemm mmg la pelik jika rumah sukan biru tapi pakai warna kuning. tapi pandai-pandai la guna fungsi warna. jangan la diskriminasi dan overgeneralize.

Syafiq Fadeli said...

TQ sebab setuju. ya, mari kita kikis dan buang sikap 'kurang cerdik' sebegini dari minda masyarakat kita.