Syafiq Fadeli's Channel

Loading...

15 May 2012

Bila Allah Menguji Dan Menghadiahi.

Apa yang berlaku semalam.
Petang hari saya dijadualkan untuk menuntun latihan pecut akhir adik-adik munsyid SMK Laloh yang dikurniakan satu slot persembahan nasyid sempena Sambutan Hari Guru, satu slot yang sungguh bermakna lantaran tingginya jasa para guru dan tingginya pengharagaan anak-anak ini terhadap guru mereka. Mungkin pelajar-pelajar lain hanya mampu mengucapkan selamat hari guru secara lisan dalam jangkamasa kurang 5 saat, namun adik-adik ini diberikan ruang dalam 10 minit untuk menzahirkan rasa kasih dan terima kasih mereka itu kepada batang-batang lilin yang membakar diri tanpa henti.

Namun tersentak dan tersentuh hati, apabila para munsyid yang saya didik dan asuh itu terbahagi dua. Satu kumpulan lelaki telah dipanggil utnuk menyertai dikir barat manakala 1 kumpulan perempuan yang bilangannya lebih kurang 6 orang datang untuk latihan nasyid. Tersentak lantaran adanya kumpulan pendakwah yang meninggalkan medan dakwah sementara untuk berdikir, namun tersentuh kerana masih ada pendakwah-pendakwah wanita muda ini yang tetap ingin mengalunkan bait-bait dakwah demi umat zaman ini daerah ini kampung ini. Rasa seperti tempang kaki kiri saya apabila penyanyi utama nasyid itu pergi menjadi penyanyi utama dikir barat pula, rasa seperti persembahan ini bakal jadi sebuah persembahan yang audien merayu-rayu untuk dihabiskan segera.

Latihan berjalan lancar, Cuma kurang enaknya. Kurang suaranya. Kurang auranya. Mujur ada adik kecil tingkatan 1 ini yang lunak suaranya, bersama sepupunya yang baik alunannya, serta rakan-rakannya yang tetap bersemangat bernasyid dan bernasyid. Terbit di hati saya:

”Persembahan ini, jadi ala kadar pun cukup lah. Asal ada saja”

Apa yang berlaku hari ini.
Pagi tadi setibanya saya di sekolah, semasa memikirkan nasib yang bakal terjadi kepada para munsyid di sambutan hari guru esok, tiba-tiba saya teringatkan buku hitam saya. Sebuah buku nota yang saya selalu bawa ke mana-mana. Di dalamnyalah saya simpan pelbagai nota, karya, lirik, dan sebagainya. Saya belek satu persatu, hingga tiba di satu muka surat yang buat saya tersentak dan terbit bibit ceria di hati. Pada muka surat tersebut, adanya nama-nama pelajar yang pernah datang ujibakat nasyid suatu ketika dulu, namun tidak terpilih menyertai pasukan utama kerana terlalu ramai. Saya masih ingat di hari ujibakat dahulu, mereka datang dengan azam yang tinggi untuk melantunkan irama-irama dakwah, inilah pasukan yang saya cari.

Terus saya meminta seorang pengawas, Safuan namanya, membuat pengumuman memanggil nama-nama tadi. Lalu mereka turun, seolah-olah tahu tujuan saya memanggil mereka. Dan apabila saya menyatakan hasrat saya mengambil mereka bernasyid dalam pasukan saya, kesemua mereka bersetuju. Malah dari riak muka dan suara mereka, mereka sebenarnya amat suka dan teruja untuk berada dalam saf ini. Alhamdulillah, inilah nikmat besar yang Allah kurniakan kepada saya selepas Dia menguji saya semalam. Andaikata saya berputus asa dengan sambutan nasyid semalam, pasti saya sudah batalkan persembahan dsb. Namun ujian Allah itu menuntut kesabaran dan keyakinan akan janji-janji Allah. Akhirnya Allah membayar kesabaran saya dengan nikmat sebegini pagi ini.

Masih terbayang wajah mereka pagi tadi, teruja dengan panggilan saya. Pasti, saya akan masukkan roh-roh dakwah ke dalam diri mereka, biar tidak lari hati-hati mereka dari jalan ini, disamping membuat apa yang mereka suka, menyanyi.

Ya Allah, jadikanlah aku dan para munsyid ini, pejuang-pejuang dan pendakwah-pendakwah di jalanMu. Jauhkan kami dari jalan yang Engkau murkai. Hidupkanlah kami di dalam perjuangan, dan matikanlah kami semasa berjuang. Biar kami bahagia dan berjaya di dunia dan akhirat. Amiin.

p/s: Kepada para munsyid yang memilih dikir barat, anda semua masih dialu-alukan untuk menyertai nasyid pada acara-acara akan datang. Pintu Kelab Nasyid SMK Laloh sentiasa terbuka. Untuk pelajar-pelajar lain yang ingin menyertai kami, marilah. Budayakan dakwah.

Yang benar, Syafiq Fadeli.

 

No comments: