15 February 2013

MEMBENTUK MASYARAKAT TIDAK 'GALAK'.

Awalnya saya melihat situasi masyarakat yang sukakan benda galak ini sebagai satu trend dan nafas baru, di mana disebabkan ramainya orang yang sukakan benda galak, maka banyaklah pihak mengambil kesempatan terhadap kegilaan ini, samada secara positif mahupun negatif. Dan semuanya berkesan!

Bagi yang negatif, datangnya perkara 'lagho' yang mengalir laju memasuki otak dan pemikiran kita. Datangnya PSY dengan Gangnam Style-nya, datang rancangan-rancangan lawak jenaka yang tidak putus-putus, dan lain-lain, semata-mata untuk mengaut keuntungan berupa wang ringgit hasil dari minat masyarakat untuk ketawa, melompat, menyanyi dan berhibur dengan sungguh 'galak' sekali.

Positifnya, datnag juga ulama'-ulama', ustaz-ustaz, rancangan-rancangan ilmiyah, isu-isu semasa yang tinggi nilai ilmunya, namun masih menyajikan gelak tawa kepada masyarakat. Lihatlah ceramah-ceramah agama sekarang, audiensnya berpuluh-puluh ribu, langsung tidak sama dengan zaman dahulu. Lihatlah penangan Ustaz Azhar Idrus, ilmiyah tetapi masih mengandungi lawak jenaka untuk menghiburkan audiens yang datang dari pelbagai latar belakang.


Namun, terdetik di hati saya, apabila saya terfikirkan apakah yang terkandung di dalam minda audiens itu. Pakat datang ramai-ramai dengar ceramah, masuk rancangan TV, adakah untuk menimba ilmu, ataupun cuma hendak bergalak dan ketawa berdekah-dekah bersama teman-teman galak? selesai ceramah, cuba pegang seorang hadirin dan tanya apakah yang dia dapat dari ceramah itu, berapa banyak hukum syara' atau ilmu tauhid yang dia dapat ingat, dan berapa banyak pula cerita lawak jenaka yang dia hafal?

Akhirnya, kita terpaksa berdepan dengan satu masalah baru di mana masyarakat sudah tidak menoleh kepada ulama'-ulama' serius yang membincangkan tentang ilmu secara ilmiyah tanpa unsur lawak. Sehebat manapun penemuannya, sedalam manapun kupasannya, audiens cuma akan mengantuk dan mengharapkan 2 keadaan. Pertama, berharap ulama' tersebut buat lawak supaya semua orang segar, atau kedua, berharap ceramah cepat habis.

Mari fikirkan, macam mana nak buang mentaliti 'galak' dalam minda ummat ini. Biarlah majoriti masa kita dihabiskan untuk urusan serius kerana hidup, mati dan akhirat itu sangatlah serius. Namun sebahagian kecil hidup kita, kita ber'galak'lah, hanya sekadar untuk menceriakan dan mewarnai hidup kita seharian, dan orang sekeliling kita :)

Syafiq Fadeli, 2013

No comments: