SEKS SONGSANG DALAM DUNIA YANG RENCAM
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Dunia ini benar-benar
berubah. Jika seseorang yang hidup di kurun-kurun yang lepas kemudian
dibangkitkan semula, tentu dia kehairanan melihat dunia ini. Ia benar-benar
berubah. Bukan sahaja kecanggihan teknologinya, tetapi juga nilai dan budaya
yang dipegang oleh manusia pada zaman ini.
Globalisasi. Satu kalimah
yang memberikan pelbagai kesan dan makna. Dunia tanpa sempadan yang gagal untuk
dikawal oleh mana-mana kuasa pun. Kita sudah menjadi seperti sebuah kampung
yang kecil. Segala yang berlaku di setiap ‘cerok’ diketahui oleh
penduduknya dan menjadi ‘buah mulut’ setiap orang. Bahkan, kita lebih
sempit dari kampung.
Teknologi yang mewujudkan
jaringan sosial manusia telah menjadikan setiap berita tersebar jauh lebih
pantas dari sebuah kampung. Tambahan lagi, bukan sekadar cerita yang dibawa,
tetapi peristiwa yang dirakam. Maka budaya dan nilai kehidupan manusia berubah.
Suasana baru berlaku dan ia menentukan banyak gaya fikir dan pendekatan kita.
Pendekatan Yang Difahami
Saya menjadi ahli Oxford
Union. Satu badan yang amat bersejarah di Oxford .
Setiap minggu mereka ada debat yang membabitkan isu-isu yang menarik.
Tokoh-tokoh dipanggil dan isu-isu tertentu dicadang dan didebatkan. Pasukan
pencadang dan pembangkang dibentuk. Kemudian undian dijalankan.
Minggu lepas tajuk: “This
House Would Recognise Prostitution as a Legitimate Business”. Mungkin hal
ini mengarut bagi kita. Apa cerita hendak mencadangkan seperti itu? Saya hadir
untuk mendengar debat tersebut. Ternyata, di sudut ‘mata mereka’ bukan
sedikit alasan yang mendapat tepukan gemuruh. Walaupun bagi kita masyarakat
muslim, hal itu jelas haram disebabkan nas-nas agama. Namun, jika kita ingin
berdialog dengan mereka, kita patut berhujah dengan apa yang mereka percaya.
Kata ‘Ali bin Abi Talib:
“Bercakaplah kepada
manusia dengan apa yang mereka tahu. Apakah kamu suka didustai Allah dan
RasulNYA” (Riwayat al-Bukhari).
Maksudnya, gunakan approach yang
difahami kerana pendekatan yang salah, akhirnya agama ini menjadi mangsa
tuduhan.
Seorang pelacur lelaki sedang berhujah mempertahankan cadangan menghalalkan
aktiviti pelacuran dari segi undang-undang.
Simpati
Di Malaysia dikatakan heboh
pasal LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual and Transgender). Apatahlagi dengan
kehadirian Irshad Manji. Sebenarnya, isu LGBT ini bukan sahaja heboh di Malaysia , di Negara Barat seperti UK ini pun
kebelakangan ini banyak berita tentang tuntutan-tuntutan mereka. Jumlah mereka
bertambah, bukan sekadar pengamalnya tetapi juga mereka yang bersimpati.
Golongan yang bersimpati
melihat di sudut ruang kebebasan individu yang patut diiktiraf. Perdana Menteri
UK David Cameron antara penyokong hak berkahwin golongan gay di UK . Walaupun
kebelakangan ini ada bantahan dari MP partinya, tetapi pendirian asal Cameron
ialah untuk menghalalkan perkahwinan golongan ini dari segi undang-undang.
Padahal David Cameron yang sama menyebut dalam bulan Disember tahun yang lalu “UK is
a Christian country and we should not be afraid to say so”. Itu ucapan
beliau di Oxford
sempena 400 tahun Bible King James.
Di Amerika, Barrack Obama
dua minggu lepas mengisytiharkan sokongan kepada golongan LGBT untuk berkahwin.
Beliau dalam temubualnya menyebut: “I have to tell you that over the course
of several years as I have talked to friends and family and neighbors when I
think about members of my own staff who are in incredibly committed monogamous
relationships, same-sex relationships, who are raising kids together, when I
think about those soldiers or airmen or Marines or sailors who are out there
fighting on my behalf and yet feel constrained, even now that Don’t Ask Don’t
Tell is gone, because they are not able to commit themselves in a marriage, at
a certain point I’ve just concluded that for me personally it is important for
me to go ahead and affirm that I think same sex couples should be able to get
married“.
Pendirian mereka mungkin
atas kepentingan politik, ataupun kepercayaan tentang hak kebebasan individu
yang menjadi ‘rukun iman’ dalam hidup mereka. Dalam usaha menjaga
perasaan penyokong, bukan sahaja politicians bahkan pihak gereja juga mula
membuka ruang kepada golongan ini. Bukan sekadar untuk berkahwin, tetapi untuk
menjadi paderi sekalipun. Ini seperti yang sedang berlaku beberapa hari lepas
di Church of Scotland.
Suasana Baru
Nampaknya golongan LGBT ini
mula membentuk komuniti yang mempunyai suara dan pengaruh dalam politik.
Penentangan terhadap mereka dilihat oleh sesetengah pihak sebagai tidak menghormati
hak individu. Dalam suasana yang seperti ini, umat Islam, samada golongan
pemikir, ahli-ahli politik dan selain mereka terpaksa mencari ‘laras bahasa’
yang baru dalam mengulas tentang golongan ini.
Di negara seperti Malaysia,
mungkin belum cukup terasa, tetapi umat Islam di Barat terpaksa mencari satu
pendekatan yang dapat difahami oleh akal manusia di sini. Kita bersetuju bahawa
‘the ground of politics is compromise, but the ground of Islam is principal’,
namun dalam masa yang sama pendekatan yang berkesan perlu dicari dalam
menegakkan prinsip.
Golongan LGBT berhimpun menyatakan pendirian mereka
Amalan LGBT sebagai sesuatu
yang haram di sisi ajaran wahyu adalah sesuatu yang pasti tanpa mungkin ada
sebarang penafsiran lain lagi. Ia termasuk dosa besar. Ini jelas apabila Allah
merakamkan ucapan Nabi Lut terhadap kaumnya (maksudnya) :
“dan (Nabi) Lut juga
ketika dia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang
keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini
sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat
kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui
batas”. (Surah al-‘Araf 80-81).
Ayat ini menggambarkan kaum
Lut memulakan amalan songsang ini. Sesuatu yang tidak dikenali sebelum itu.
Namun, dunia hari ini lebih buruk, kerana hal ini telah dimulakan, telah
berakar umbi dalam sesetengah masyarakat, di samping mendapat pengiktarafan
pula di peringkat antarabangsa.
Nabi Lut sendiri mencari
banyak pendekatan dalam membetulkan keadaan, termasuk menawarkan anak-anak
perempuannya untuk mereka. Walaupun perkataan banati (anak-anak
perempuanku) dalam al-Quran mengenai dialog Lut a.s itu mempunyai pelbagai
tafsiran, namun ia merujuk kepada tawaran Lut untuk mereka mengahwini
perempuan-perempuan keturunannya ataupun pengikutnya. Kata Lut: (maksudnya)
“Wahai kaumku! di sini
ada anak-anak perempuanku mereka lebih suci bagi kamu, oleh itu takutlah kamu
kepada Allah, dan janganlah kamu memberi malu kepadaku mengenai
tetamu-tetamuku, tidakkah ada di antara kamu seorang lelaki yang bijak berakal
(yang dapat memberi nasihat)?” (Surah Hud 78).
Dalam kerangka dunia hari
ini yang tidak dapat menerima sikap yang keras dalam membawa mesej agama dan
Islam pula dituduh agama yang ganas, maka dialog yang berkesan dan matang dalam
menyampaikan dakwah amat diperlukan. Islam itu indah, ia mesti disampaikan
dengan cara yang berkesan dan indah.
Ya, keindahan itu
kadang-kala ia subjektif, tetapi kerangka masyarakat dan budaya yang
mengelilingi mereka juga menentukan keindahan itu. Sudah pasti senaman ‘punggung’
bukan keindahan. Jika ia hendak dijadikan saluran dakwah Islam, sudah pasti
tidak dapat diterima oleh akal yang waras dan budaya yang ada. Mungkin ia
diterima dalam masyarakat Zulu Africa, tetapi tidak dalam masyarakat kita.
Dialog Dan Debat
Pada zaman ini manusia
memerlukan dialog dalam menentukan setiap pegangan. Bahkan, berdebat juga
adalah antara pendekatan yang diiktiraf oleh al-Quran. Firman Allah
(maksudnya):
“Serulah ke jalan Tuhanmu
(wahai Muhammad) dengan hikmah dan mauizah hasanah (nasihat yang baik), dan
berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia
lah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua
yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk (Surah
al-Nahl: 125).
Kata al-Sa’di (meninggal
1376H):
“Hikmah maksudnya setiap
individu diseru berdasarkan keadaan, kefahaman, penerima dan
perlaksanaannya..adapun mauizah hasanah (nasihat yang baik) bermaksud dengan
ungkapan yang baik yang dapat mengingatkan mereka. Antaranya dengan cara
memberi amaran kepada mereka mengenai balasan Allah di akhirat dengan
pendekatan yang dapat menginsafkan mereka. Sementara: berdebatlah dengan mereka
dengan cara yang terbaik bermaksud cara yang paling memungkin mereka
menerimanya secara akal dan nas ( Al-Sa’di, Taisir al-Karim al-Rahman, 452,
Beirut: Muassasah al-Risalah).
Pendekatan baru perlu
diambil. Golongan pendakwah dan umat Islam perlukan pendekatan yang lebih
bersifat semasa dalam suasana yang ada. Mungkin sesuatu perkara itu jelas bagi
kita, tetapi ia kabur bagi banyak pihak. Dalam kes LGBT, kita bukan sahaja
terpaksa berbicara dengan pengamalnya, tetapi juga mereka yang bersimpati
walaupun tidak mengamalkan. Itu lebih ramai.
Dakwah Islam itu bertujuan
memahamkan manusia dan menjadikan mereka taatkan Allah dalam keadaan sedar dan
ikhlas. Menghukum dan mencemuh tidak dapat menyelesaikan masalah jika tidak
didahului dengan memahamkan dan menegakkan hujah. Gerakan Islam, pendakwah dan
badan-badan agama patut melihat isu-isu terkini dalam horizon yang baru, tanpa
menggadaikan prinsip yang asal.
Sumber: DRMAZA
No comments:
Post a Comment