Assalamualaikum
Dengan sekali pandang, semestinya Malaysia merupakan
sebuah negara harmoni yang didiami pelbagai bangsa dan budaya. Kesemuanya tampak
senyum dan gembira, terutamanya di dalam video-video pelancongan berkenaan
Malaysia. Zahirnya rakyat Malaysia ini bagaikan rakyat yang tiada penyakit,
hidup aman segar bugar dalam limpahan rezeki melimpah ruah saban hari,
seolah-olah tiada lagi perkataan ‘kesusahan’ dalam Kamus Dewan, telah lama
perkataan itu dipindah ke Kamus Sanskrit.
Namun apa yang zahir, tidak menggambarkan yang
batin. Ada barah dan tumor yang bersarang dalam minda rakyat ini sudah jelas
parahnya. Ada penawar-penawar yang timbul namun lekas dicantas virus-virus
perosak yang tidak henti-henti menyerang. Manakan dapat diubati, virus ini
kebal dari apa ubat sekalipun. Lesennya besar.
Terpentan, terkejut. Kalimah yang terpacul di
hati saya apabila melihat sebuah perhimpunan yang menghimpunkan beliawan
beliawanis yang diselitkan unsur maksiat yang amat terkutuk. Kalau diselitkan
sehelai kertas, mungkin orang ramai pun tidak perasan. Tapi kalau diselit
seguni beras di celah-celah pinggan di rak dapur, orang yang tak mencari pun
akan nampak.
Himpunan Sejuta Belia, sebuah nama yang
menggetarkan jiwa saya pada asalnya. Ya lah, sebuah perhimpunan pemuda pemudi
yang harapannya untuk bernaung di bawah panji Allah di padang Mahsyar nanti
adalah sangat tinggi sekali. Mereka inilah golongan yang disebut secara khusus
dalam nas sebagai manusia-manusia yang akan terselamat di Mahsyar. Berada dalam
7 golongan terselamat.
Aksi artis K-pop di Putrajaya
Mungkin ada antara mereka yang hadir untuk
memeriahkan majlis disamping untuk beriadah bersama keluarga. Tidak ada
salahnya. Namun kecewa saya membuak apabila melihat konsert-konsert artis luar
yang sangat menjolok mata. Kalau dulu pernah kita bahaskan apa hukum lagu
nasyid yang melalaikan, hatta lagu nasyid pun kita tapis. Namun kali ini seolah-olah
semua fatwa-fatwa dan hasil perbincangan para ulama serta ilmuwan Islam tanah
merdeka ini dicarik dan dirogol rakus oleh insan-insan yang sewenang-wenangnya
mempersembahkan penyanyi dan penari seksi separuh bogel di pentas.
Ke mana kita nak tuju sebenarnya?
Allah berfirman yang maksudnya:
“Kamu semua adalah umat yang terbaik yang
dilahirkan dari kalangan manusia, iaitu kamu yang menyeru kebaikan, dan kamu
yang mencegah kemungkaran, dan kamu yang beriman kepada Allah”
Nyatanya, majlis maksiat sebegini bukanlah satu
method menyeru ke arah kebaikan. Jelas juga, ia bukanlah satu gerakan mencegah
kemungkaran. Malah mungkin, lemah iman orang-orang yang tergamak menjemput,
membayar dan mempersembahkan dosa percuma yang galak melenggok mengikat erat
mata-mata yang memandang penuh nafsu.
Maka sehampir manakah kita dengan status ‘umat
terbaik’ yang Allah anugerahkan? Yang pastinya, ‘umat terbaik’ inilah
sebenarnya yang layak digelar rakyat harmoni, rakyat yang sihat rohani dan
jasmaninya, rakyat yang dilindungi anti-virus berjenama ‘khalifah’. Kehidupan umat
terbaik inilah yang menjadi panduan manusia sejagat, menjadi penanda aras bagi
seluruh tamadun, sesuai dengan fungsi Islam itu sendiri, ‘sebagai rahmat ke
seluruh alam’.
Persoalannya, adakah kita sudah di taraf umat
terbaik? Sebuah soalan berat sebelah yang saya lemparkan dalam nada metafora. Sebagai
sebuah sindirin tanda kecaman saya terhadap pihak yang biadab merosakkan rakyat
negara ini. Di waktu rakyat ini mula berlumba-lumba menuntut ilmu, menadah
telinga mendengar curahan ilmu agama dari ustaz-ustaz dan alim ulama negara
ini, di waktu kita hampir tersenyum lebar menyaksikan perubahan ummat Melayu
ini hampir benar ke pintu syurga, mereka datang menyentap dan mengheret kita
kembali ke gaung neraka jahannam. Usaha yang menuntut peluh keringat pejuang
agama selama bertahun-tahun, dinajisi dalam satu malam. Insan biadab!
Sabda nabi:
“Sebaik-baik manusia ialah manusia yang
bermanfaat kepada manusia lain”
Bermanfaatkah apa yang kita buat?
Adakah kita manusia terbaik itu?
Benci sangatkah melihat ummat ini menuju
Allah?
Salam perjuangan,
SYAFIQ FADELI
Prof Dr Asri Zainal Abidin |
Ustaz Kazim Elias |
Ustaz Don |
Ustaz Azhar Idrus |
Suasana jemaah di kuliah Ustaz Azhar Idrus |
No comments:
Post a Comment