Adalah sangat
lucu apabila menonton dan membaca apa sahaja yang keluar dari mulut
manusia-manusia yang bercakap tentang agama, namun mereka sendiri hidup dalam ‘memperlekehkan
agama’. Jika mereka tidak berbicara tentang agama kita cuma ‘beranggapan’
mereka tidak faham agama. Namun setelah mereka mengeluarkan fatwa dan pendapat,
kita serta merta ‘yakin’ yang mereka sememangnya tidak faham agama.
Di mana kejadian
seperti ini berlaku? Di mana-mana sahaja. Namun apa yang menjadi penyakit dalam
masyarakat ini ialah apabila manusia-manusia ini diberi keistimewaan mikrofon
untuk melantangkan suara sehingga didengari seisi negara. Siapa pandai-pandai
bagi pembesar suara kepada mereka ini? Untuk apa diberi? Jawapannya senang. Mereka
diberi mikrofon ini kerana ada orang yang akan mendengar dengan setia setiap
kenyataan dari mereka. Mungkin mereka penyokong, mungkin mereka peminat.
Antara banyak-banyak
kenyataan media yang dikeluarkan oleh manusia-manusia ini, ada satu kenyataan
media yang mempunyai nilai humor yang sangat tinggi dan mempunyai nilai satera
yang cukup signifikan, bagi saya. Ianya sebuah soalan dan sebuah jawapan yang
menjadi ‘trademark’ seluruh umat Islam, namun kehumoran itu terletak bukan
kepada soalan dan jawapan itu, tapi terletak kepada penyoal dan penjawab itu.
“Bila nak kahwin? Apakah ciri-ciri lelaki yang
diingini untuk dijadikan suami?”
“InshaAllah bila sampai seru nanti. Semestinya
saya inginkan lelaki yang soleh dan beriman yang mampu memimpin saya ke arah
yang lebih baik”
Tipikal.
Humor apabila
wanita separuh bogel memberi jawapan sebegitu. Dengan pakaian ketat dan
menampakkan separuh buah dada, kain terbelah hingga ke pangkal peha, dengan cukup
bersahaja menjawab sebegitu. Hidupnya yang hanya berkad pengenalankan Islam
semata-mata, berpakaian yang jelas terbuka auratnya tanpa syak. Ke sini ke sana
berpimpin tangan dengan bakal ‘suami soleh’nya yang masih belum mahram. Mulut
yang bertutur tanpa tapis. Jelas, hidupnya dalam memperlekahkan agama Islam
yang mulia. Namun dalam hal rumah tangga, mahukan suami yang soleh?
Tidak salah untuk
bercita-cita memiliki lelaki soleh. Namun lupakah kamu dengan firman Allah yang
maha mulia? Yang membawa maksud, “Untuk
lelaki yang soleh itu seorang perempuan yang solehah, dan untuk perempuan yang
solehah itu seorang lelaki yang soleh”. Macam mana kamu boleh bermimpi
untuk memiliki seorang lelaki soleh kalau kamu tidak solehah?
“Dia akan bimbing saya selepas kami berumah tangga
nanti”
Satu kenyataan
yang semua perlu faham. Sejak saat pertama akad nikah selesai dan mereka sah
bergelar suami isteri, segala dosa isteri yang diredhai suami, akan ditanggung dan
dipersoalkan kepada si suami di akhirat nanti. Tidak tutup rambut bila keluar
bekerja, si isteri akan jawab Allah, si suami pun akan jawab Allah nanti.
Para lelaki soleh
memahami ini, jadi siapa yang ‘sudi’ sangat nak tanggung dosa kamu? Adalah
lebih baik para lelaki ini mencari seorang wanita solehah yang sudah mulia
akhlaknya, maka ringanlah bebannya. Kuranglah risaunya. Nikah saja, terus
mendapat seorang bidadari syurga di dalam rumah. Semestinya lelaki soleh
impikan wanita sebegini sebagai isteri dan ibu kepada anak-anaknya, yang mampu
menggantikan tugas mendidik anak-anak dengan agama sewaktu si suami keluar
mencari nafkah.
Habis, ‘lelaki
soleh’ mana lagi yang tinggal untuk kamu miliki?
Di sini saya
sertakan beberapa contoh perkara yang seorang suami akan dipersoalkan di
hadapan Allah, beberapa contoh tipikal masyarakat melayu khususnya:
1. Tidak tutup
aurat
Apabila si isteri
keluar rumah dan berada di khalayak ramai dalam keadaan tidak tutup aurat,
selangkah dia berjalan keluar, sebuah azab akan disediakan untuk suaminya. Bayangkan
berapa langkah seorang wanita itu berjalan di luar rumah. Setiap mata lelaki
ajnabi yang memandang si isteri, maka dosa melimpah ke atas kedua mereka yang
memandang dan yang dipandang. Tapi jangan lupa, si suami yang sedang berada di
masjid pun akan berdosa sama akibat redha dengan keingkaran isterinya terhadap
tuntutan agama.
2. Tabarruj
Isteri sebegini,
secara kasarnya, menutup auratnya. Ada tudung menutup rambut, ada jubah, ada
hand-socks, ada stoking lengkap. Tapi mereka berlebih-lebih dalam berhias. Dengan
dandanan muka yang tebal dan penuh warna warni, yang pastinya untuk dilihat
cantik oleh orang lain di luar rumah. Ditambah dengan tudung bergulung-gulung,
juga semestinya untuk dilihat cantik. Lagi, dengan jubah moden berwarna terang
yang menarik-narik mata lelaki untuk memandang dengan minat. Dicalit pula
minyak wangi yang kuat baunya untuk dihidu wangi oleh para lelaki dan wanita di
luar sana. Dilengkapkan dengan kasut bertumit yang berbunyi apabila berjalan,
untuk membuat ‘pengumuman’ tentang kehadiran beliau di sesuatu kawasan. Antara alasan
paling popular semestinya, ‘untuk
keyakinan diri saya’. Buat apa kamu yakin pada diri sedangkan di waktu yang
sama Allah murka terhadap kamu, keyakinan itu macam sampah sahaja, tiada
gunanya lagi.
3. Mulut tempayan
Isteri sebegini
punya ramai kawan. Tidak kira lelaki perempuan. Takkala bertemu ada sahaja
cerita itu dan ini untuk diceritakan. Setibanya di ‘tajuk’ masalah dalam rumah,
dengan senang keluarlah segala cerita aib rumah tangga. Suamiku begini, suamiku
begitu, suamiku buat ini, suamiku buat itu. Semuanya didengar dengan penuh
minat oleh sahabat-sahabat seperjuangan yang tidak habis-habis berkata ‘ceritalah, tidak apa, untuk pedoman kita
semua juga, supaya lain kali tidak berlaku kepada kita semua’. Hebatnya
sahabat-sahabat ini, mereka sangat berani mengeluarkan fatwa baru, walaupun
bercanggah dengan kata-kata Allah dan Rasul. Adalah haram untuk menceritakan
keaiban diri sendiri, apa lagi keaiban orang lain, lebih-lebih lagi keaiban
suami. Bagi mereka pula, tidak apa, kita-kita sahaja.
Ingatlah para
wanita. Jika kamu ikhlas mahukan seorang suami yang soleh, jadilah seorang
perempuan solehah. InshaAllah suami yang dijodohkan kepada kamu itu sungguh
alim melangkaui impian kamu. Bukan sekadar memimpinmu, malah mendukungmu ke
syurga.
Bagi wanita yang
sudah bergelar isteri, jadilah isteri yang sayangkan suami. Jika kamu lihat
suami kamu demam semata-mata berhujan untuk mengangkat kain yang kamu jemur di
jemuran, pun kamu sudah sedih, malah menangis-nangis. Itu baru demam.
Sanggupkah kamu melihat suamimu diazab Allah di neraka semata-mata kamu yang
membuat maksiat kepada Allah? Jika tidak sayangkan diri sekalipun, sayangilah
suami kamu. Cintailah dia dengan cinta yang sebenar-benar cinta, sehingga rasa
mahu melihatnya bahagia dan gembira di dunia dan akhirat.
Sabda Rasulullah,
“Dunia penuh dengan perhiasan, dan
perhiasan paling cantik ialah wanita solehah”
Wallahua’lam.
SYAFIQ FADELI