26 June 2012

Siapa Akan Kahwin Dengan Kamu? (Untuk Wanita)


Adalah sangat lucu apabila menonton dan membaca apa sahaja yang keluar dari mulut manusia-manusia yang bercakap tentang agama, namun mereka sendiri hidup dalam ‘memperlekehkan agama’. Jika mereka tidak berbicara tentang agama kita cuma ‘beranggapan’ mereka tidak faham agama. Namun setelah mereka mengeluarkan fatwa dan pendapat, kita serta merta ‘yakin’ yang mereka sememangnya tidak faham agama.

Di mana kejadian seperti ini berlaku? Di mana-mana sahaja. Namun apa yang menjadi penyakit dalam masyarakat ini ialah apabila manusia-manusia ini diberi keistimewaan mikrofon untuk melantangkan suara sehingga didengari seisi negara. Siapa pandai-pandai bagi pembesar suara kepada mereka ini? Untuk apa diberi? Jawapannya senang. Mereka diberi mikrofon ini kerana ada orang yang akan mendengar dengan setia setiap kenyataan dari mereka. Mungkin mereka penyokong, mungkin mereka peminat.

Antara banyak-banyak kenyataan media yang dikeluarkan oleh manusia-manusia ini, ada satu kenyataan media yang mempunyai nilai humor yang sangat tinggi dan mempunyai nilai satera yang cukup signifikan, bagi saya. Ianya sebuah soalan dan sebuah jawapan yang menjadi ‘trademark’ seluruh umat Islam, namun kehumoran itu terletak bukan kepada soalan dan jawapan itu, tapi terletak kepada penyoal dan penjawab itu.

“Bila nak kahwin? Apakah ciri-ciri lelaki yang diingini untuk dijadikan suami?”

“InshaAllah bila sampai seru nanti. Semestinya saya inginkan lelaki yang soleh dan beriman yang mampu memimpin saya ke arah yang lebih baik”

Tipikal.


Humor apabila wanita separuh bogel memberi jawapan sebegitu. Dengan pakaian ketat dan menampakkan separuh buah dada, kain terbelah hingga ke pangkal peha, dengan cukup bersahaja menjawab sebegitu. Hidupnya yang hanya berkad pengenalankan Islam semata-mata, berpakaian yang jelas terbuka auratnya tanpa syak. Ke sini ke sana berpimpin tangan dengan bakal ‘suami soleh’nya yang masih belum mahram. Mulut yang bertutur tanpa tapis. Jelas, hidupnya dalam memperlekahkan agama Islam yang mulia. Namun dalam hal rumah tangga, mahukan suami yang soleh?

Tidak salah untuk bercita-cita memiliki lelaki soleh. Namun lupakah kamu dengan firman Allah yang maha mulia? Yang membawa maksud, “Untuk lelaki yang soleh itu seorang perempuan yang solehah, dan untuk perempuan yang solehah itu seorang lelaki yang soleh”. Macam mana kamu boleh bermimpi untuk memiliki seorang lelaki soleh kalau kamu tidak solehah?

“Dia akan bimbing saya selepas kami berumah tangga nanti”


Satu kenyataan yang semua perlu faham. Sejak saat pertama akad nikah selesai dan mereka sah bergelar suami isteri, segala dosa isteri yang diredhai suami, akan ditanggung dan dipersoalkan kepada si suami di akhirat nanti. Tidak tutup rambut bila keluar bekerja, si isteri akan jawab Allah, si suami pun akan jawab Allah nanti.

Para lelaki soleh memahami ini, jadi siapa yang ‘sudi’ sangat nak tanggung dosa kamu? Adalah lebih baik para lelaki ini mencari seorang wanita solehah yang sudah mulia akhlaknya, maka ringanlah bebannya. Kuranglah risaunya. Nikah saja, terus mendapat seorang bidadari syurga di dalam rumah. Semestinya lelaki soleh impikan wanita sebegini sebagai isteri dan ibu kepada anak-anaknya, yang mampu menggantikan tugas mendidik anak-anak dengan agama sewaktu si suami keluar mencari nafkah.

Habis, ‘lelaki soleh’ mana lagi yang tinggal untuk kamu miliki?

Di sini saya sertakan beberapa contoh perkara yang seorang suami akan dipersoalkan di hadapan Allah, beberapa contoh tipikal masyarakat melayu khususnya:

1. Tidak tutup aurat
Apabila si isteri keluar rumah dan berada di khalayak ramai dalam keadaan tidak tutup aurat, selangkah dia berjalan keluar, sebuah azab akan disediakan untuk suaminya. Bayangkan berapa langkah seorang wanita itu berjalan di luar rumah. Setiap mata lelaki ajnabi yang memandang si isteri, maka dosa melimpah ke atas kedua mereka yang memandang dan yang dipandang. Tapi jangan lupa, si suami yang sedang berada di masjid pun akan berdosa sama akibat redha dengan keingkaran isterinya terhadap tuntutan agama.

2. Tabarruj
Isteri sebegini, secara kasarnya, menutup auratnya. Ada tudung menutup rambut, ada jubah, ada hand-socks, ada stoking lengkap. Tapi mereka berlebih-lebih dalam berhias. Dengan dandanan muka yang tebal dan penuh warna warni, yang pastinya untuk dilihat cantik oleh orang lain di luar rumah. Ditambah dengan tudung bergulung-gulung, juga semestinya untuk dilihat cantik. Lagi, dengan jubah moden berwarna terang yang menarik-narik mata lelaki untuk memandang dengan minat. Dicalit pula minyak wangi yang kuat baunya untuk dihidu wangi oleh para lelaki dan wanita di luar sana. Dilengkapkan dengan kasut bertumit yang berbunyi apabila berjalan, untuk membuat ‘pengumuman’ tentang kehadiran beliau di sesuatu kawasan. Antara alasan paling popular semestinya, ‘untuk keyakinan diri saya’. Buat apa kamu yakin pada diri sedangkan di waktu yang sama Allah murka terhadap kamu, keyakinan itu macam sampah sahaja, tiada gunanya lagi.

3. Mulut tempayan
Isteri sebegini punya ramai kawan. Tidak kira lelaki perempuan. Takkala bertemu ada sahaja cerita itu dan ini untuk diceritakan. Setibanya di ‘tajuk’ masalah dalam rumah, dengan senang keluarlah segala cerita aib rumah tangga. Suamiku begini, suamiku begitu, suamiku buat ini, suamiku buat itu. Semuanya didengar dengan penuh minat oleh sahabat-sahabat seperjuangan yang tidak habis-habis berkata ‘ceritalah, tidak apa, untuk pedoman kita semua juga, supaya lain kali tidak berlaku kepada kita semua’. Hebatnya sahabat-sahabat ini, mereka sangat berani mengeluarkan fatwa baru, walaupun bercanggah dengan kata-kata Allah dan Rasul. Adalah haram untuk menceritakan keaiban diri sendiri, apa lagi keaiban orang lain, lebih-lebih lagi keaiban suami. Bagi mereka pula, tidak apa, kita-kita sahaja.

Ingatlah para wanita. Jika kamu ikhlas mahukan seorang suami yang soleh, jadilah seorang perempuan solehah. InshaAllah suami yang dijodohkan kepada kamu itu sungguh alim melangkaui impian kamu. Bukan sekadar memimpinmu, malah mendukungmu ke syurga.

Bagi wanita yang sudah bergelar isteri, jadilah isteri yang sayangkan suami. Jika kamu lihat suami kamu demam semata-mata berhujan untuk mengangkat kain yang kamu jemur di jemuran, pun kamu sudah sedih, malah menangis-nangis. Itu baru demam. Sanggupkah kamu melihat suamimu diazab Allah di neraka semata-mata kamu yang membuat maksiat kepada Allah? Jika tidak sayangkan diri sekalipun, sayangilah suami kamu. Cintailah dia dengan cinta yang sebenar-benar cinta, sehingga rasa mahu melihatnya bahagia dan gembira di dunia dan akhirat.

Sabda Rasulullah, “Dunia penuh dengan perhiasan, dan perhiasan paling cantik ialah wanita solehah”

Wallahua’lam.

SYAFIQ FADELI


24 June 2012

Sepintas Lalu - Fiqh Aulawiya' a.k.a Prioriti


PRIORITI

Melihat senario semasa dimana manusia hidup dalam mengejar. Ilmuwan-ilmuwan mengejar sesuatu yang berada jelas di hadapan mereka, segera atau lambat itu saja bezanya, namun yang pasti mereka faqih dalam apa yang dikejar. Ada pula segolongan manusia yang hidupnya amat penat. Lelah dan keringat diperah-perah sehingga ke titisan terakhir. Berjalan ke sana ke mari membuat kerja itu dan ini, tampaknya seperti orang-orang penting, semua yang memandang rasa kagum. Namun mereka sebenarnya mengejar sesuatu yang mereka pun tidak tahu. Mereka mengejar ‘kejayaan’, tapi tidak pernah seorang pun mendefinisikan ‘kejayaan’ bagaimanakah yang sebenarnya mereka maksudkan itu. Apa yang mereka tahu, mereka kejar ‘kejayaan’!

Orang yang hidup dalam ilmu, beramal dengan amalan-amalan yang terang statusnya di atas landasan ilmu, semestinya jelas dengan setiap perkara yang dihidang di hadapan mereka. Apabila dihadapkan dengan pelbagai pilihan, semestinya mereka mahir dalam memilih pilihan yang tepat dengan menggunakan ketinggian ilmu mereka lalu memilih pilihan yang mempunyai lebih prioriti.

Cover Photo Facebook Fan Page penulis

Dalam memilih perkara yang lebih prior, yang lebih utama, yang lebih afdhal, ianya nampak sungguh jelas sekiranya apa yang dibentang di hadapan kita terang-terang menunjukkan satu yang baik dan satu yang buruk. Belum sampai 1 saat melihatnya, kita mampu membuat keputusan tepat dengan memilih yang baik. Kerana ianya sangat jelas yang buruk itu buruk.

Namun apabila dibentangkan dengan dua perkara baik, dan kita cuma ada upaya untuk memilih satu sahaja, maka yang manakah yang perlu kita pilih? Dalam situasi ini, maka perlulah kita ada ilmu untuk menditerminkan status terperinci kedua-dua perkara, yang mana akhirnya ianya dengan jelas akan diasingkan ke dalam dua kategori iaitu kategori baik, dan kategori lebih baik. Jika perkara wajib bertemu sunat, keduanya baik dan dapat pahala jika dilaksanakan, maka pilihlah yang wajib kerana meninggalkan yang wajib itu berdosa tapi meninggalkan yang sunat itu tidak dapat apa-apa. Apabila bertemunya yang sahih dan yang dho’if, keduanya disandarkan kepada insan agung, keduanya ada tapak konkrit, maka pilihlah yang sahih kerana ianya ada kelebihan iaitu mempu dihujahkan. Begitulah seterusnya, memilih yang lebih baik dari yang baik.
Ceramah motivasi UPSR, Sabah.

Kadangkala pula datang dua perkara buruk. Kedua-duanya datang dengan pakej kemudaratan masing-masing. Buat yang pertama maka mudarat, buat yang kedua pun sama. Maka dalam keadaan di mana kita terpaksa memilih satu pilihan untuk dipilih, maka pilihlah yang paling kurang mudaratnya. Kerana apabila datang dua mudarat, pasti mudaratnya tidak sama, dan apabila tidak sama, pasti ada satu yang lebih ringan mudaratnya. Macam mana hendak tahu dengan jelas yang mana mudarat dan yang mana lebih mudarat? Semestinya dengan menggunakan jalan sama, kenalah mempunyai ILMU. Dengan ilmu kita faham, apabila haram bertemu makruh, maka pilihlah yang makruh dalam keadaan terdesak kerana membuat yang haram itu berdosa, namun membuat yang makruh itu tidak apa. Andaikata diletakkan belati di tengkuk kita, dipaksa pilih antara dua benda haram ataupun disembelih, maka gunalah akal dan ilmu untuk pilih satu perkara haram yang lebih ringan mudaratnya kepada diri dan umat sekeliling. Lalu begitulah seterusnya, apabila dipaksa pilih antara mudarataini, maka pilihlah yang lebih ringan mudaratnya dari yang lebih berat mudaratnya.

Andaikata semua umat Islam benar-benar memahami Fiqh Aulawiya’ ini, inshaAllah hidupnya akan teratur dan sibuknya berbaloi. Kerana kita adalah seorang yang jelas. Seorang yang bertindak sambil bersandar kepada ilmu. Maka setiap keputusan yang dibuat, semestinya adalah keputusan yang terbaik buat diri kita dan masyarakat.

Walahua’lam.

SYAFIQ FADELI

Ceramah Kesedaran Pelajar, SMK Taman Tun Fuad, Sabah.

20 June 2012



Dr Yusuf al-Qaradawi ada mengulas tentang amalan malam Nisfu Syaaban dengan katanya: “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu doa yang panjang, yang menyanggahi nas-nas (al-Quran dan Sunnah) serta bercanggahan dan bertentangan pula isi kandungannya…perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidah, dan setiap yang bidah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka” 

(Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Mu`asarah, 1/382-383, Beirut: Dar Uli al-Nuha, Beirut).

15 June 2012

New Vlog

New vlog on Youtube, check it out guys.

SEMBAHYANG NAMPAK PUNGGUNG


13 June 2012

K-Pop di Himpunan Sejuta Belia, Putrajaya.


Assalamualaikum

Dengan sekali pandang, semestinya Malaysia merupakan sebuah negara harmoni yang didiami pelbagai bangsa dan budaya. Kesemuanya tampak senyum dan gembira, terutamanya di dalam video-video pelancongan berkenaan Malaysia. Zahirnya rakyat Malaysia ini bagaikan rakyat yang tiada penyakit, hidup aman segar bugar dalam limpahan rezeki melimpah ruah saban hari, seolah-olah tiada lagi perkataan ‘kesusahan’ dalam Kamus Dewan, telah lama perkataan itu dipindah ke Kamus Sanskrit.

Namun apa yang zahir, tidak menggambarkan yang batin. Ada barah dan tumor yang bersarang dalam minda rakyat ini sudah jelas parahnya. Ada penawar-penawar yang timbul namun lekas dicantas virus-virus perosak yang tidak henti-henti menyerang. Manakan dapat diubati, virus ini kebal dari apa ubat sekalipun. Lesennya besar.

Terpentan, terkejut. Kalimah yang terpacul di hati saya apabila melihat sebuah perhimpunan yang menghimpunkan beliawan beliawanis yang diselitkan unsur maksiat yang amat terkutuk. Kalau diselitkan sehelai kertas, mungkin orang ramai pun tidak perasan. Tapi kalau diselit seguni beras di celah-celah pinggan di rak dapur, orang yang tak mencari pun akan nampak.

Himpunan Sejuta Belia, sebuah nama yang menggetarkan jiwa saya pada asalnya. Ya lah, sebuah perhimpunan pemuda pemudi yang harapannya untuk bernaung di bawah panji Allah di padang Mahsyar nanti adalah sangat tinggi sekali. Mereka inilah golongan yang disebut secara khusus dalam nas sebagai manusia-manusia yang akan terselamat di Mahsyar. Berada dalam 7 golongan terselamat.

Aksi artis K-pop di Putrajaya

Mungkin ada antara mereka yang hadir untuk memeriahkan majlis disamping untuk beriadah bersama keluarga. Tidak ada salahnya. Namun kecewa saya membuak apabila melihat konsert-konsert artis luar yang sangat menjolok mata. Kalau dulu pernah kita bahaskan apa hukum lagu nasyid yang melalaikan, hatta lagu nasyid pun kita tapis. Namun kali ini seolah-olah semua fatwa-fatwa dan hasil perbincangan para ulama serta ilmuwan Islam tanah merdeka ini dicarik dan dirogol rakus oleh insan-insan yang sewenang-wenangnya mempersembahkan penyanyi dan penari seksi separuh bogel di pentas.

Ke mana kita nak tuju sebenarnya?

Allah berfirman yang maksudnya:
“Kamu semua adalah umat yang terbaik yang dilahirkan dari kalangan manusia, iaitu kamu yang menyeru kebaikan, dan kamu yang mencegah kemungkaran, dan kamu yang beriman kepada Allah”

Nyatanya, majlis maksiat sebegini bukanlah satu method menyeru ke arah kebaikan. Jelas juga, ia bukanlah satu gerakan mencegah kemungkaran. Malah mungkin, lemah iman orang-orang yang tergamak menjemput, membayar dan mempersembahkan dosa percuma yang galak melenggok mengikat erat mata-mata yang memandang penuh nafsu.

Maka sehampir manakah kita dengan status ‘umat terbaik’ yang Allah anugerahkan? Yang pastinya, ‘umat terbaik’ inilah sebenarnya yang layak digelar rakyat harmoni, rakyat yang sihat rohani dan jasmaninya, rakyat yang dilindungi anti-virus berjenama ‘khalifah’. Kehidupan umat terbaik inilah yang menjadi panduan manusia sejagat, menjadi penanda aras bagi seluruh tamadun, sesuai dengan fungsi Islam itu sendiri, ‘sebagai rahmat ke seluruh alam’.

Persoalannya, adakah kita sudah di taraf umat terbaik? Sebuah soalan berat sebelah yang saya lemparkan dalam nada metafora. Sebagai sebuah sindirin tanda kecaman saya terhadap pihak yang biadab merosakkan rakyat negara ini. Di waktu rakyat ini mula berlumba-lumba menuntut ilmu, menadah telinga mendengar curahan ilmu agama dari ustaz-ustaz dan alim ulama negara ini, di waktu kita hampir tersenyum lebar menyaksikan perubahan ummat Melayu ini hampir benar ke pintu syurga, mereka datang menyentap dan mengheret kita kembali ke gaung neraka jahannam. Usaha yang menuntut peluh keringat pejuang agama selama bertahun-tahun, dinajisi dalam satu malam. Insan biadab!

Sabda nabi:
“Sebaik-baik manusia ialah manusia yang bermanfaat kepada manusia lain”

Bermanfaatkah apa yang kita buat?

Adakah kita manusia terbaik itu?

Benci sangatkah melihat ummat ini menuju Allah?


Salam perjuangan,
SYAFIQ FADELI


Prof Dr Asri Zainal Abidin
Ustaz Kazim Elias
Ustaz Don
Ustaz Azhar Idrus
Suasana jemaah di kuliah Ustaz Azhar Idrus