Idea mencurah, aku tidak sempat memikirkan format, jadi tolong hormat. Kalau tiada angin,
masakan pohon bergoyang? Usah dibilang, buat penat sahaja membilang jumlah
kenyataan-kenyataan dari sumber pelbagai yang membawa kesan kepada diri kita. Beribu-ribu
pandangan baik dipalitkan kepada kita, tiba-tiba satu fitnah kotor tercalit di
dahi, semua orang nampak, semua kebaikan tertanam tidak berbatu nisan. Kenapa
kita sangat suka kepada perkara negatif? Sukanya kita bila baca majalah, ada
kisah tangkap khalwat, kisah rompak, kisah bunuh, betapa tertariknya kita untuk
baca. Otak sudah tertusuk papan tanda negatif sehinggakan berita-berita positif
dikira sebagai membosankan dan membebankan untuk diketahui. Seronoknya kita
mendengar seseorang mengadu domba menghambur fitnah terhadap seseorang, teruja
dengan kedahsyatan ceritanya, terus terpasang niat untuk menyampaikan berita
yang sama kepada rakan-rakan lain. Bangganya kita apabila kitalah yang menjadi orang
pertama yang menyampaikan berita dahsyat seseorang itu kepada orang lain. Semua
orang terkejut, semua tertanya-tanya dari mana kita tahu perkara seaib ini, ini
cerita di dalam kelambu, kita pula bangga menjadi seorang penyelak kelambu.
Walaupun kelambu yang diselak itu ada 7 lapis, kita selak selapis, tapi kita
sudah berani pandai-pandai meneka apa kejadian di balik lapisan ke-7. Sungguh
nujum dan handal kita meramal kisah di belakang dinding. Bagaimana pula reaksi
kita dengan piala-piala dan pingat-pingat dan tauliah-tauliah yang terpampang
di dinding? Tidak berminat. Sebab semua itu terpampang, semua orang pun boleh
nampak. Kita suka benda yang orang tidak tahu, kita yang memberitahukan. Murahnya
maruah kita mencipta nama dengan memijak kepala orang lain dengan but keras,
terkapai-kapai kesakitan mereka di bawah, menggelupur meminta simpati, namun
kita tiada belas kasihan. Kita sudah terlalu biasa, sudah rutin, memijak yang
lemah, memijak mangsa asalkan kita puas dan jadi orang hebat yang membawa
berita hangat yang orang lain tidak tahu. Bodoh dan kurang pintar perancangan
masa depan kita. Orang berjaya membina roket ke bulan, kemudian mereka ke
bulan, dan balik menceritakan apa ada di bulan. Itu pun berita yang orang lain
tidak tahu juga, tapi itu berita benar dan bermaruah. Orang handal bina enjin,
bina telefon, bina falsafah, bina bangunan, kesemuanya membuatkan manusia
kagum, sebab mereka handal di padang yang betul. Mereka punya modal bermaruah,
mereka berusaha dengan maruah, mereka membina dengan maruah, dan mereka
ceritakan kejayaan mereka dengan maruah. Mereka orang bermaruah yang sempurna.
Kita? Kita reka satu fitnah, dan sebarkan kepada umum. Hina dan keji tahap
teratas. Apa modal kita? Sedikit idea salah, dan sedikit air liur, kemudian
hendak disanjung, diangkat dan dijulang. Bagi kita itulah kononnya jalan pintas
menjadi handal. Tidak, itu jalan pintas ke neraka, jalan pintas ke padang
orang-orang keji. Masuklah, duduk diam-diam dalam sana. Fitnahlah kaki fitnah
lain, berfitnahlah kamu sesama keldai penjaja fitnah, kenapa dikacau insan
mulia di padang timur? Kalau sudah kering idea di otak, sudah habis cerita di
minda, diam sajalah. Buat apa memaksa diri bercerita. Siapa paksa kita untuk
bercerita? Tiada siapa. Kita sahaja yang gatal mulut, dengki tengok ramai
kawan-kawan mengerumuni seseorang yang ada cerita panas. Sepanas api neraka
yang bakal membakar setiap inci tubuhnya, sepanas kegeraman mangsa fitnah. Orang
lain bina bangunan besar-besar, kita tawarkan diri untuk letak sebijik permata
di puncak menaranya, sudahlah cuma pakai gam sahaja, tapi mahu nama kita duduk
di tangga pertama di dalam senarai pembina bangunan. Hanya kerana seketul
permata yang tanpanya pun bangunan itu tetap unggul. Habis. Cukup. Akhir. Mari
datang bawa tujuh puluh mata pedang, bawa tujuh ribu hulubalang, tujuh puluh
ribu tabik aku boleh bagi kau senang-senang. Kau sebutkan berapa banyak lagi
tabik kamu mahu, aku berikan. Walaupun jumlah tabikku beribu malah tidak
terhitung, namun jumlah hormatku satu pun tidak tersampai. Idea mencurah, aku tidak sempat memikirkan format, jadi tolong hormat.
No comments:
Post a Comment