Apa yang berlaku semalam.
Petang hari saya dijadualkan untuk menuntun latihan pecut
akhir adik-adik munsyid SMK Laloh yang dikurniakan satu slot persembahan nasyid
sempena Sambutan Hari Guru, satu slot yang sungguh bermakna lantaran tingginya
jasa para guru dan tingginya pengharagaan anak-anak ini terhadap guru mereka.
Mungkin pelajar-pelajar lain hanya mampu mengucapkan selamat hari guru secara
lisan dalam jangkamasa kurang 5 saat, namun adik-adik ini diberikan ruang dalam
10 minit untuk menzahirkan rasa kasih dan terima kasih mereka itu kepada
batang-batang lilin yang membakar diri tanpa henti.
Namun tersentak dan tersentuh hati, apabila para munsyid yang
saya didik dan asuh itu terbahagi dua. Satu kumpulan lelaki telah dipanggil
utnuk menyertai dikir barat manakala 1 kumpulan perempuan yang bilangannya
lebih kurang 6 orang datang untuk latihan nasyid. Tersentak lantaran adanya
kumpulan pendakwah yang meninggalkan medan
dakwah sementara untuk berdikir, namun tersentuh kerana masih ada
pendakwah-pendakwah wanita muda ini yang tetap ingin mengalunkan bait-bait
dakwah demi umat zaman ini daerah ini kampung ini. Rasa seperti tempang kaki
kiri saya apabila penyanyi utama nasyid itu pergi menjadi penyanyi utama dikir
barat pula, rasa seperti persembahan ini bakal jadi sebuah persembahan yang
audien merayu-rayu untuk dihabiskan segera.
Latihan berjalan
lancar, Cuma kurang enaknya. Kurang suaranya. Kurang auranya. Mujur ada adik
kecil tingkatan 1 ini yang lunak suaranya, bersama sepupunya yang baik
alunannya, serta rakan-rakannya yang tetap bersemangat bernasyid dan bernasyid.
Terbit di hati saya:
”Persembahan
ini, jadi ala kadar pun cukup lah. Asal ada saja”
Apa yang berlaku
hari ini.
Pagi tadi
setibanya saya di sekolah, semasa memikirkan nasib yang bakal terjadi kepada
para munsyid di sambutan hari guru esok, tiba-tiba saya teringatkan buku hitam
saya. Sebuah buku nota yang saya selalu bawa ke mana-mana. Di dalamnyalah saya
simpan pelbagai nota, karya, lirik, dan sebagainya. Saya belek satu persatu,
hingga tiba di satu muka surat yang buat saya tersentak dan terbit bibit ceria
di hati. Pada muka surat tersebut, adanya nama-nama pelajar yang pernah datang
ujibakat nasyid suatu ketika dulu, namun tidak terpilih menyertai pasukan utama
kerana terlalu ramai. Saya masih ingat di hari ujibakat dahulu, mereka datang
dengan azam yang tinggi untuk melantunkan irama-irama dakwah, inilah pasukan
yang saya cari.
Terus saya
meminta seorang pengawas, Safuan namanya, membuat pengumuman memanggil
nama-nama tadi. Lalu mereka turun, seolah-olah tahu tujuan saya memanggil
mereka. Dan apabila saya menyatakan hasrat saya mengambil mereka bernasyid
dalam pasukan saya, kesemua mereka bersetuju. Malah dari riak muka dan suara
mereka, mereka sebenarnya amat suka dan teruja untuk berada dalam saf ini. Alhamdulillah,
inilah nikmat besar yang Allah kurniakan kepada saya selepas Dia menguji saya
semalam. Andaikata saya berputus asa dengan sambutan nasyid semalam, pasti saya
sudah batalkan persembahan dsb. Namun ujian Allah itu menuntut kesabaran dan keyakinan akan janji-janji
Allah. Akhirnya Allah membayar kesabaran saya dengan nikmat sebegini pagi ini.
Masih terbayang
wajah mereka pagi tadi, teruja dengan panggilan saya. Pasti, saya akan masukkan
roh-roh dakwah ke dalam diri mereka, biar tidak lari hati-hati mereka dari
jalan ini, disamping membuat apa yang mereka suka, menyanyi.
Ya Allah,
jadikanlah aku dan para munsyid ini, pejuang-pejuang dan pendakwah-pendakwah di
jalanMu. Jauhkan kami dari jalan yang Engkau murkai. Hidupkanlah kami di dalam
perjuangan, dan matikanlah kami semasa berjuang. Biar kami bahagia dan berjaya di dunia dan
akhirat. Amiin.
p/s: Kepada para
munsyid yang memilih dikir barat, anda semua masih dialu-alukan untuk menyertai
nasyid pada acara-acara akan datang. Pintu Kelab Nasyid SMK Laloh sentiasa
terbuka. Untuk pelajar-pelajar lain yang ingin menyertai kami, marilah. Budayakan
dakwah.
Yang benar, Syafiq Fadeli.
No comments:
Post a Comment