Kejadian yang berlaku setiap hari seringkali membuatkan saya
ketawa kecil kerana tidak tahan dengan unsur jenaka yang tersurat di dalam
insiden-insiden yang sudah menjadi ‘adat budaya’ orang Malaysia. Seolah-olah
setiap rakyat Malaysia mengamalkan, paling tidak mengambil tahu, perihal satu
perkara ini yang menjadi amat sensitif bila disebut, diperdengarkan dan
diperlihatkan. Ianya ialah POLITIK.
Setiap negara dan bangsa ada stereotype mereka
masing-masing. Jika kita sebut saja orang Cina di negara Cina, terus tergambar
akan ilmu, kungfu dan disiplin mereka. Sebut saja orang Arab, tergambarlah
jubah, janggut dan perniagaan. Sebut Yahudi, kepandaian dan kejahatan. Sebut
Indonesia, sinetron. Sebut Korea, K-Pop. Dan apabila sebut Malaysia, orang
Melayu, terus tergambar kegilaan masyarakat ini untuk mengaitkan segala perkara
dengan politik, walaupun perkara yang langsung tiada kaitan, tetap tidak
terlepas dari dikaitkan dengan politik. Seolah-olah semua pengait-pengait tadi
faham benar kisah politik. Walhal kalau ditanya, buku politik apa dan karangan
politik siapa yang mereka sudah baca? Jawapannya mungkin tiada, judul buku pun
tidak tahu barangkali.
TAKSUB
Ramai masyarakat Malaysia ini yang amat taksub dengan
parti politik (bukan dengan politik) pilihan masing-masing. Ada yang memperjuangkan
bangsa, ada yang memperjuangkan agama, ada juga yang memperjuangkan hak. Masing-masing
ada agenda perjuangan masing-masing dan nyatanya kesemuanya berjaya meraih
sokongan rakyat yang mahu apa yang parti tersebut perjuangkan.
Tidak salah memiliki parti politik pilihan masing-masing,
malah kita perlu memilikinya untuk menentukan masa depan negara. Namun harus
difahami perbezaan antara parti politik dan politik. Politik ialah satu ilmu,
manakala segala informasi, visi dan misi parti politik masing-masing itu adalah
maklumat tentang apa yang mahu dicapai parti politik tersebut. Tidak semestinya
ianya satu ilmu.
Akibatnya, apabila ramainya rakyat yang tidak berfikiran
terbuka dan hanya memandang dengan sebelah mata sahaja, penilaian berat sebelah
semestinya berlaku. Disuruh belajar ilmu politik, tidak mahu. Disuruh dengar
ceramah dan kenyataan, disuruh diadakan dialog sihat, tidak mahu hadir, tidak
mahu dengar. Hasilnya, tidak kiralah apa hujah dikeluarkan ahli politik
sekalipun, apa program diadakan sekalipun, kelompok manusia ini tidak endah dan
akan tetap pangkah parti politik mereka yang sudah mencapai tahap maksum di
dalam hati mereka. Berlakulah gejala taksub. Ya, ketaksuban ialah satu gejala.
Natijahnya, semua orang yang berpandangan berbeza dalam
memilih parti politik menjadi musuhnya. Bukan
manusia sahaja, malah motosikal, kereta, baju, hatta langit pun menjadi mangsa
mereka. Ibu bapa berpesan kepada anak-anak darjah 1 supaya jangan masuk ‘Rumah
Hijau’ semasa hari sukan sekolah nanti, sebab hijau itu PAS. Ibu bapa lain pula
melarang anaknya masuk ‘Rumah Biru’, sebab itu BN. Kanak-kanak yang menggunakan
basikal ‘Fixie’ kuning juga dicemuh dan diancam, sebab katanya
mempromosikan BERSIH 3.0. Aduh, budak-budak itu apa pun tidak tahu pasal
politik. Basikal kuning itu kebetulan sahaja sebab basikal warna itu sahaja yang
mampu dibelinya dengan duit raya. Terus dicop sebagai ‘Jawatankuasa Penggerak
BERSIH 3.0’ secara otomatik. Itu budak-budak, apa lagi orang dewasa berkereta
hijau, berbaju kuning, bertopi biru, bertelefon tangan merah dan sebagainya. Lagilah
teruk dijeling tajam.
TIDAK SEMUA MACAM KAMU
Mesti sentiasa ingat, semua manusia ini tidak sama.
Adik-beradik kembar pun ada perbezaan. Janganlah disebabkan kita sensitif
dengan sesuatu warna, kita anggap semua orang pun sensitif macam kita. Kita orang
biru, kita pantang tengok hijau, janganlah kita overgeneralize semua
orang biru akan pantang tengok hijau macam kita, dan cop semua orang hijau
pantang tengok biru. Itu melampau, mengganggu hidup orang lain, malah menonjolkan
kebodohan diri sendiri di khalayak umum.
Sabda Rasulullah SAW,
”Sebaik-baik perkara ialah yang di tengah-tengah
(sederhana)”
Menjadi taksub langsung tiada kaitan dengan
kesederhanaan. Malah perkataan ‘taksub’ itu sendiri dicipta bertentangan dengan
makna sederhana. Mana mungkin taksub itu menjadi sebaik-baik perkara.
Saya tidak membantah perhimpunan dan demonstrasi yang
dibuat kadang-kadang untuk perjuangan masing-masing, apa lagi yang sudah
mendapat kebenaran pihak berkuasa. Memang ianya satu strategi dan kempen untuk
meraih undi dan kefahaman masyarakat. Itu langsung tidak taksub. Tapi kalaulah setiap
hari perhimpunan, setiap hari nak sekat jalan, setiap hari orang takut pakai
baju berwarna tertentu kerana takut golongan ini bertindak kasar, itu jelas
merupakan taksub.
BUKA MINDA
Kita mesti buka minda kita, biar rasional, biar luas.
Islam mengajar kita agar tidak menerima bulat-bulat sebarang berita kecualilah
daripada sumber yang sahih. Ingin saya tekankan di sini, sumber sahih ada
banyak, tetapi sumber ‘paling sahih’ ialah Al-Quran dan Al-Hadis. Selain 2
sumber ini, kita berhak untuk mempersoalkan dan menilai dan membuat pilihan. Tiada
paksaan dalam membuat pilihan, yang ada hanyalah minda yang terpaksa bersetuju
lantaran sempitnya maklumat tentang pilihan-pilihan alternatif. Dah itu sahaja
yang dia tahu, macam mana dia nak buat pilihan, pilih yang dia tahu sajalah.
Sebab itu kita kena buka minda, terima banyak maklumat dan pendapat, barulah
sedap membuat pilihan bijak. Kalau tidak, bijak tak bijak pun, yang itulah juga
dia akan pilih. Sebab yang itu saja dia tahu.
Parti A kutuk Parti B seolah-olah Parti B ini dipimpin
oleh orang-orang bodoh yang langsung tiada akal. Segala projek dan perancangan
mereka dihentam awal-awal lagi sebelum difahami dengan teliti, seolah-olah perancangan-perancangan
itu tidak dimesyuaratkan, seolah-olah mereka pilih projek dari petunjuk jarum
yang berhenti di nama projek dalam putaran roda ‘Roda Impian’. Berhenti di
mana, itulah projek kita!
Kita kena faham, kalau kita bijak, orang lain pun bijak. Masing-masing
ada akal. Mungkin kita bijak sikit daripada mereka, atau mereka bijak sedikit
daripada kita, tapi tidak bermakna mereka bodoh dan dungu. Maka janganlah
membabi buta menghentam terus. Bukalah minda untuk menerima hujah dan
penjelasan dari semua pihak. Disamping ia menjadikan kita makin bertambah ilmu,
dihormati, ia juga memandu kita untuk membuat pilihan dan mengeluarkan kenyataan
yang sangat bijak. Kenyataan yang tidak dipandang sebelah mata.
Pakailah baju biru, hijau, kuning, apa warna sahaja.
Ianya langsung tidak menjejaskan kefahaman dan ilmu kita. Ianya hanya mampu
menarik orang-orang berfikiran sempit dan kurang ilmu untuk menjeling benci dan
memekik melolong, sahaja. Sekurang-kurangnya apabila mereka menjeling dan
memekik, kita dengan mudah dapat mengecam siapa pintar, siapa sebaliknya.
Jangan taksub, buka minda.
SYAFIQ FADELI
Mungkin inilah baju yang terpaksa dipakai oleh oleh rakyat Malaysia suatu hari nanti untuk mengelak dari menjadi mangsa golongan taksub |